PENTATONIX membuat persembahan seperti diiringi instrumen muzik.
PENTATONIX membuat persembahan seperti diiringi instrumen muzik.
Oleh Georgie Joseph

Instrumen muzik yang wujud sehingga abad ini barangkali semakin variasi dan boleh dipelajari sesiapa. Evolusi muzik sangat ketara bertambah luar biasa baik instrumen klasik hinggalah elektronik yang ada sekarang ini.

Bagaimanapun, benar apa yang sering ditekankan handalan muzik bahawa tiada instrumen di dunia mampu melawan instrumen kotak suara manusia sendiri. Hakikatnya, hanya instrumen suara yang cukup fleksibel mampu menghasilkan pelbagai jenis bunyi-bunyian meski bunyi paling pelik serta sukar mana pun.

Lebih spesifiknya digelar sebagai A Capella, nyanyi menggunakan suara saja mampu menjadi luar biasa tanpa menggunakan alat muzik. Sudah berleluasa sejak dulu, sekarang ini nyanyian acapella turut menjadi lebih gah dengan kehadiran pejuang termasuk juga kumpulan popular Pentatonix.

Dianggotai lima anggota berbakat iaitu Kirstie Maldonado, Mitch Grassi, Scott Hoying, Avi Kaplan dan Kevin Olusola, kumpulan terbabit antara yang paling digeruni sekarang. Bahkan, baru berkecimpung sejak 2011, awal tahun ini Pentatonix melakar sejarah apabila memenangi trofi Susunan Terbaik, Instrumental atau A Capella di Grammy.

Berkunjung ke sini buat pertama kali menjayakan jelajah mereka The On My Way Home Tour in Malaysia 2015, RAP sempat mewawancara kumpulan itu. Berkongsi mengenai pencapaian mereka sehingga takat ini, jelas sekali lima anggotanya itu masih rasa bermimpi apatah lagi gawang peminat di seluruh dunia sekarang bukan alang-alang.

“Pengalaman yang kami dapat setakat ini memang sangat sukar untuk dipercayai. Perjalanan kami pun bukan seindah mana apabila pernah ditolak daripada label sebelum ini dan kemudian beralih ke YouTube.

“Bayangkan dengan sokongan peminat semua, kami berpeluang juga menghadiri acara gah seperti Grammy dan Anugerah Muzik Billboard. Dapat bertemu dengan artis besar lain umpama mimpi. Sekarang ini, kami tidak sabar untuk menjadi artis jemputan kepada siri jelajah Kelly Clarkson pula,” kata anggotanya, Scott.

Apapun survival dalam dunia muzik sekarang semestinya cukup mencabar buat Pentatonix apalagi dengan kehadiran pelbagai genre yang lebih ‘in’. Bagaimanapun, menurut Mitch, tiada yang lebih penting daripada memberikan seratus peratus kerja terbaik oleh mana-mana pemuzik terhadap muzik diperjuangkan mereka.

“Cabaran terbesar buat kami adalah orang tidak percayakan A Capella itu boleh menjadi besar. Mereka tidak pasti bagaimana kami mahu menonjol namun sebenarnya itu yang membuatkan kami semakin mara.

“Dengan kehadiran pelbagai jenis muzik sekarang termasuk Muzik Tari Elektronik (EDM), bukan isu besar bagi kami. Pasaran sekarang susah untuk dijangka, lihat saja bagaimana lagu Take Me To Church (Hozier), Someone Like You (Adele), tetap jadi besar meskipun balada dan menggunakan piano.

“Oleh itu, bagi kami ia terpulang kepada apa yang terbaik mampu dihasilkan seseorang pemuzik itu. Disebabkan itu kami sendiri berpegang kepada keaslian muzik kami dan pada masa sama terus memperbaiki hasil kerja,” katanya.

Pentatonix cairkan Kuala Lumpur

Tiada gambaran yang mampu diberikan kepada persembahan selama sejam 30 minit oleh Pentatonix pada konsert mereka di Stadium Negara, Kuala Lumpur, malam kelmarin. Bermula jam 8 malam, sesungguhnya konsert sulung itu sudah cukup membuktikan kumpulan berkenaan bukan calang-calang.

Kualiti muzik yang dikurniakan kepada setiap anggotanya nyata anugerah. Dengan hanya berbekalkan vokal suara, cukup mengagumkan bagaimana mereka mampu mencipta suasana yang kedengarannya puluhan alat muzik seakan mengiringi nyanyian mereka.

Tidak hairan lebih 5,000 penonton yang turun padang malam itu tidak henti menjerit memandangkan mereka sememangnya sudah tahu konsert itu sangat berbaloi. Daripada permulaan lagu hingga penutup, malam itu berlaku dengan pantasnya apabila tanpa mengetahuinya, persembahan mereka sudah pun tamat.

Yang pasti, skala pemilihan lagu hingga bagaimana mereka membuat projeksi suara serta gubah melodi setiap lagu langsung tidak terjangkau barangkali oleh orang lain. Sangat kemas dan tiada unsur-unsur stamina mereka semput, se–sungguhnya Pentatonix layak untuk diberi ‘standing ovation’ menerusi persembahan itu.

Terutama ketika melunaskan lagu Evolution of Music yang merangkumkan lagu dari era 80-an hingga sekarang ini, baik suara bass Avi, kemahiran ‘beat boxing’ Kevin, nada tinggi Mitch, kelunakan suara Scott dan Kirstie, memang terlalu hebat!

Demikian juga dengan nyanyian rangkaian lagu popular Beyonce menerusi Beyonce medley, mereka lakukannya dengan ‘effortless’ tapi impaknya, luar biasa! Nyata, ada sesuatu yang cukup istimewa dengan Pentatonix apabila susunan lagu dibuat mereka saja sudah membuktikan mereka terlalu serius dan ‘genius’ dalam kemahiran itu.

Turut dinyanyikan adalah Problem, Telephone, La La Latch, Love You Long Time, Rather Be, Papaoutai, Opera Moment, Aha!, Four Five Seconds, Breakfree/See Thru, Standing By, On My Way Home, dan diakhiri dengan dua lagu That’s Christmas To Me, serta Daft Funk medley.

Tidak ketinggalan, Kevin pula sempat memukau penonton dengan kebolehan luar biasanya menggesek cello sambil membuat ‘beat-boxing’. Avi yang sememangnya memiliki suara bass paling hebat turut mempersembahkan kebolehannya itu menerusi sebuah lagu sebelum dihadiahkan tepukan gemuruh.

Jelas mereka sendiri tidak sangka dengan kegilaan peminat serta penonton dari Malaysia, Pentatonix nyata gembira bertandang ke sini. Bahkan, mereka berkata tidak perlu risau lagi dan mahu datang kembali ke Malaysia untuk peminat pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 9:51 AM