Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) menyasarkan untuk menarik lebih daripada 5,000 peserta bagi empat lokasi penganjuran SME BizFest pada tahun ini dengan fokus kepada semua usahawan daripada pelbagai kluster perniagaan termasuk Small Office Home Office (SoHo) dan perniagaan skala kecil.

Naib Presiden Eksekutif, Pengguna dan SME TM, Imri Mokhtar berkata, trend pengguna masa kini menunjukkan mereka melayari Internet untuk membeli-belah dengan 43 peratus daripada trafik laman web tempatan datang daripada peranti mudah alih.

“Oleh itu, kehadiran laman web yang mesra mudah alih penting bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS). TM sentiasa berusaha untuk menggalakkan pertumbuhan usahawan PKS melalui penyelesaian informasi dan teknologi maklumat (ICT) dan perkhidmatan perniagaan bagi meningkatkan pengalaman pelanggan PKS,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau berkata, TM menganjurkan SME BizFest pada setiap tahun sebagai platform untuk PKS mendapatkan pelbagai maklumat termasuk tip perniagaan, pengetahuan teknikal dan hubungan perniagaan ekoran kurangnya penggunaan ICT dalam kalangan PKS pada masa ini.

“Sempena SME BizFest 2015, PKS boleh menikmati penjimatan lebih daripada RM1,000 bagi penyelesaian ICT dan perkhidmatan nilai tambah (VAS) dengan pakej Biz Bonanza Deal yang menggabungkan penyelesaian ICT seperti Office 365, Sure Pay dan pelan suara,” katanya.

SME BizFest 2015 akan menjelajah lokasi terakhir di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu pada 16 Jun ini selepas tiga lokasi sebelumnya iaitu di Pusat Konvensyen Sunway Petaling Jaya, Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru dan Hotel Equatorial, Pulau Pinang.

Masuk adalah percuma bagi semua peserta yang berminat dengan pendaftaran sudah dibuka secara atas talian iaitu di www.
tm.com.my/smebizfest.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 6:51 AM