IMRI (tengah) bergambar bersama penaja sempena pelancaran TM SME Bizfest.
IMRI (tengah) bergambar bersama penaja sempena pelancaran TM SME Bizfest.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur : Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi cabang perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjangkakan jumlah pelanggannya meningkat sama seperti unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini iaitu antara 4.5 hingga 5.5 peratus.

Setakat ini pelanggan PKS TM dicatatkan sebanyak 800,000 pengguna dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilihat tidak memberi kesan negatif kepada pertumbuhannya dalam tempoh awal pelaksanaan cukai baru berkenaan.

Naib Presiden Eksekutif Pengguna dan PKS TM, Imri Mokhtar berkata, cabaran ekonomi yang dihadapi oleh peniaga pada tahun ini memerlukan golongan berkenaan meningkatkan penerimaan penggunaan Internet dalam operasi perniagaan yang mampu memberi kesan positif.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapati penggunaan ICT dalam kalangan PKS masih rendah dan hanya membabitkan penggunaan asas Internet dan seharusnya PKS tempatan perlu menggunakannya secara maksimum memandangkan mereka menjadi majoriti dalam organisasi perniagaan di Malaysia iaitu 99.2 peratus.

“Tahun ini Malaysia menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN serta mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BC) yang mana dunia akan melihat bagaimana Malaysia memainkan peranan dalam merangsang pertumbuhan PKS di dalam dan negara terutama di rantau ASEAN.

“Di pihak TM, kami akan meneruskan aktiviti yang boleh menggalakkan penyertaan PKS dalam penggunaan Internet menerusi pameran perniagaan PKS, SME BizFest yang dilaksanakan setiap tahun berkonsepkan jelajawara,” katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 8:33 AM