BARISAN pelakon, pengarah dan penerbit drama bersiri komedi Strawberi & Karipap musim kedua.
BARISAN pelakon, pengarah dan penerbit drama bersiri komedi Strawberi & Karipap musim kedua.
Oleh Ramlah Zainal


Bukan ‘demand’ sebaliknya pelakon berkaliber Zizan Nin mengakui dirinya sangat selektif dalam menerima tawaran berlakon sejak berkecimpung dalam bidang lakonan lebih sedekad lalu.

Pemilik nama sebenar Azizan Nin, 41, ini mengakui tanggungjawab sebagai pelakon lebih berat selepas mengungguli trofi Pelakon Pembantu Filem Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) 2014 menerusi filem Tanda Putera tahun lalu.

“Saya akui selepas menang anugerah, tanggungjawab sebagai pelakon adalah lebih berat lagi.

“Maklumlah, tawaran berlakon filem yang bagus tidak datang selalu kerana ia adalah projek pelaburan yang besar.

“Justeru, persiapan perlulah rapi dan teliti untuk memberikan yang terbaik dalam lakonan,” katanya.

Terus terang, kata Zizan, dia juga tidak ghairah untuk berlakon filem jika watak dan ceritanya pula sekadar tang­kap muat.

“Saya memang terbuka untuk berlakon apa saja watak yang ditawarkan asalkan ia ada kelainan.

“Selain sebagai periuk nasi, saya juga tetap ingin pastikan dapat menjiwai sesuatu watak itu dengan baik sebagai kepuasan pada diri sendiri dan peminat di luar sana,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zizan, dia menafikan dakwaan dirinya memilih pengarah untuk bekerja ketika ini.

“Saya tidak ada masalah bekerja dengan mana-mana pengarah termasuk pengarah baru kerana setiap pengarah ada cara mereka sendiri.

“Sebagai Penerbit Eksekutif di Aquila Emas pun, saya juga berbincang dan menerima cadangan daripada kakitangan produksi mengenai pengarah yang terbabit de­ngan projek drama kami,” katanya.

Zizan ditemui pada sidang media drama bersiri komedi 13 episod Strawberi & Karipap untuk saluran Astro Ceria yang berlangsung di Bangsar Village, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Drama arahan Nizam Zakaria ini diterbitkan Global Station Sdn Bhd.

Mengenai projek filem baru pula, kata Zizan, dia masih menanti tawaran untuk berlakon dalam projek filem baru.

“Buat masa ini belum ada projek filem baru termasuk dengan pengarah Datin Paduka Shuhaimi Baba selepas filem Tanda Putera.

“Selain sibuk dengan pe­ngurusan kerja kreatif bersama produksi Aquila Emas, saya juga sering menjadi penceramah dan pensyarah jemputan di kolej dan universiti untuk berkongsi ilmu dalam bidang lakonan.

“Saya juga mengisi masa dengan menjadi pengacara untuk program TV dan menjadi pengacara pelbagai majlis,” katanya.

Watak hitam

Walaupun pernah menang trofi, Zizan mengakui dia juga tidak kisah berlakon watak kecil dalam filem asalkan ia meninggalkan kesan pada penonton.

Terbaru, dia melakonkan watak undangan dalam filem Ophilia arahan Raja Mukhriz.

“Saya terima tawaran produser filem itu, Sharifah Shahora dan suaminya, Raja Mukhriz bukan sekadar kami sudah kenal lama.

“Sebaliknya, saya ingin mencabar diri melakonkan watak hitam dalam filem pula.

“Ramai yang terkejut dengan watak hitam dilakonkan itu dan tidak kurang yang memuji lakonan saya dalam filem itu.

“Saya pula tidak terbuai dengan pujian sebaliknya ia adalah bonus dan motivasi untuk terus menggilap bakat lakonan pada masa hadapan,” katanya.

Diminta mengulas kemunculan ramai bakat baru pula, Zizan berkata, ia membuktikan bidang seni semakin rancak dan berkembang maju ketika ini.

“Sebagai pelakon berpe­ngalaman, saya juga sudah melebarkan sayap sebagai Penerbit Eksekutif di Aquila Emas.

“Saya juga mampu melakukan kerja penerbitan, berlakon dan mengacara sekali gus kerana bidang seni sudah sebati dengan diri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zizan akan terbabit dengan penggambaran supertelefilem Strawberi & Karipap di Gold Coast, Australia pada 5 Jun ini.

Tidak ketinggalan, dia juga berlakon watak undangan dalam Telemovie untuk raya, Misi Ku Kubur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 11:25 AM