ZIZAN menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan Bella Astillah. FOTO Arkib NSTP.
ZIZAN menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan Bella Astillah. FOTO Arkib NSTP.
Ramlah Zainal


HUBUNGAN antara pelawak dan pelakon popular, Zizan Razak dengan Bella Astillah hanya sebagai rakan artis selepas mereka berlakon bersama dalam telefilem berjudul Kerusi Kecil.

Zizan ketika ditemui berkata, mereka tidak ada apa-apa hubungan istimewa dan Bella sekadar heroin dalam telefilem arahan Ghaz Abu Bakar itu.

Netizen mula memperkatakan mengenai hubungan mereka apabila Bella hadir dalam majlis kejutan ulang tahun kelahiran ibu Zizan, baru-baru ini.

Menurut Zizan, apa yang berlaku itu hanya kebetulan saja.

“Bella hubungi saya dan mahu berbincang mengenai projek telefilem itu ketika saya buat kejutan untuk majlis hari jadi ibu, baru-baru ini. Jadi, saya juga memintanya untuk turut sama meraikan majlis itu ,”katanya.

Menurut Zizan, sebelum itu dia bertemu dengan ibu Bella dan adiknya Didi Astillah ketika makan singgang sebelum ini.

“Saya meminta nombor telefon Bella daripada ibunya kerana mahu menawarkan dia berlakon dalam Kerusi Kecil. Selepas berhubung dengan Bella, dia bersetuju untuk berlakon dalam telefilem itu.

“Bella seorang yang baik dan dia juga banyak bertanya mengenai Ghaz dan projek telefilem itu,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran syarikat produksi Adtisha Productions Sdn Bhd dan telefilem Kerusi Kecil di Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Zizan turut menafikan dakwaan dia sengaja menyebarkan gosip bercinta dengan Bella untuk mempromosikan telefilem lakonan mereka itu.

“Saya tidak perlukan gimik atau publisiti murahan sebegitu. Saya juga tidak mahu menipu penonton dengan membuat gosip kami bercinta sedangkan ia tidak berlaku,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 9:47 AM