ZIZAN tidak ambil serius sebab dah biasa, Ummi lebih berhati-hati elak timbul fitnah.
ZIZAN tidak ambil serius sebab dah biasa, Ummi lebih berhati-hati elak timbul fitnah.

Lakonan Zizan Razak dan Ummi Nazeera dalam filem televisyen (FTV) berjudul Angin Cinta yang ditayangkan di saluran Astro First Eksklusif bermula hari ini antara yang hangat diperkatakan.

Masakan tidak, keakraban kedua-dua pelakon ini ketika menjalani penggambaran dan selepas itu mengundang persepsi banyak pihak mereka sedang bercinta.

Menurut Zizan, 32, perkara itu hanya gosip sedangkan hubungan mereka sekadar kawan biasa.

“Sejujurnya, saya terkejut juga apabila digosipkan dengan Ummi. Namun, saya sudah biasa dikaitkan dengan cerita sebegini dan tidak ambil serius.

“Memang betul selepas penggambaran selesai tahun lalu, hubungan saya dan Ummi baik. Disebabkan itu kami dikatakan bercinta.

“Apa-apa pun, saya tidak boleh menutup mulut orang untuk terus bercakap. Ia hak masing-masing. Lain orang lain persepsi.

“Cuma bagi saya, tak adil untuk cakap kami bercinta hanya kerana berlakon bersama,” katanya.

Sambung Zizan, dia memuji sikap profesional Ummi ketika bekerja meskipun pada mulanya mereka kurang serasi.

Zizan mengakui, Ummi agak kekok apabila kali pertama berlakon dengannya namun perkara itu dapat diatasi.

“Setahun juga saya menunggu cerita ini untuk ditayangkan. Alhamdulillah, hasil kerja Ghaz Abu Bakar dan pasukannya memang terbaik. Secara peribadi saya berpuas hati.

“Mengenai gandingan saya dengan Ummi, ini karya pertama kami sebagai hero dan heroin. Pada mulanya dia nampak kekok, mungkin kerana kami belum pernah berjumpa. Dia pelakon yang bagus dan jujur dengan kerjanya.

“Saya selalu berbual dengannya bagi memastikan kami serasi. Alhamdulillah cara ini berjaya malah kami berkawan baik,” katanya.

Zizan berkata, dia tidak menolak sekiranya ada lagi tawaran bergandingan dengan Ummi selepas ini.

Sementara itu, Ummi menyifatkan apa yang diperkatakan mengenainya dan Zizan gosip yang tidak berasas.

“Saya mengetahui perkara ini selepas kami selesai menjalani penggambaran Angin Cinta. Pada mulanya saya tidak suka kerana sebagai wanita saya mahu elak daripada digosip.

“Disebabkan itu saya berjumpa dengannya bagi membincangkan perkara ini. Dalam pertemuan itu Zizan menasihati saya agar tidak memperdulikan perkara ini dan bertenang,” katanya.

Apa yang membuatkan Ummi berasa lebih yakin adalah sikap Zizan yang sentiasa tenang berdepan dengan apa jua kontroversi selain me­nyifatkan pelawak itu sahabat yang baik.

Ummi berkata, sejak gosip itu menjadi perhatian masyarakat, mereka lebih berhati-hati bagi mengelak timbul fitnah lain.

Ditanya mengenai sisi peribadi, Ummi menjelaskan belum memikirkan soal cinta kerana keutamaannya kini adalah karier.

“Setakat berkawan dan berkenalan adalah tetapi untuk bercinta memang tidak buat masa ini,” katanya ringkas.

Berkongsi gandingannya, Zizan, Ummi berkata bintang filem Polis Evo itu berbakat besar.

“Tidak susah bekerjasama dengannya, sebaliknya saya pula yang risau kerana Angin Cinta sebuah karya romantik komedi. Umum tahu, genre sebegini adalah ‘makanan’ Zizan dan saya pula lebih kepada karya berat.

“Biarpun jalan ceritanya ringan, Angin Cinta sarat de­ngan pengajaran. Saya terima tawaran ini kerana tertarik dengan naratifnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ummi kini terikat dengan penggambaran filem filem televisyen keduanya bersama Astro berjudul Bisik Pada La­ngit yang menggandingkannya dengan Jalil Hamid, Beto Kusyairi dan Datin Fadilah Mansor.

Selain Zizan dan Ummi, Angin Cinta turut menampilkan pelakon Sharonizam Noor dan Zarina Zainuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 12:56 PM