PESERTA gotong-royong mengecat.
PESERTA gotong-royong mengecat.
Oleh Erywan Norshal


Tiada erti penat buat lebih 50 pemilik motosikal jenama KTM yang menunggang melebihi dua jam untuk menyertai program Tunggangan Amal ke Ma’ahad Tahfiz Al-Quran di Kampung Berhala Gantang, Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Panas terik sepanjang perjalanan tidak sedikit mematahkan semangat mereka, malah semakin bertenaga untuk melakukan kerja gotong-royong membaiki pusat berkenaan yang dilanda banjir, awal tahun ini.

Konvoi disertai pemilik motosikal jenama KTM Malaysia CKD dari Johor, Lembah Klang dan Pantai Timur itu bertujuan membantu membaiki Ma’ahad Tahfiz Al-Quran yang kini lebih 80 peratus siap menjalani proses membaik pulih.

Pengurus Besar Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd, Muhamad Zamry Abu Samah berkata, program amal itu kali pertama diadakan dan menerima sambutan menggalakkan daripada pemilik motosikal KTM pemasangan tempatan (CKD) membabitkan model KTM Duke 200, 390, 690, KTM RC200 dan RC390

“Berbanding aktiviti lain dianjurkan sebelum ini, program amal itu memberi lebih manfaat kepada penunggang, yang mana mereka meluangkan masa hampir dua jam untuk mengecat dan menanam pokok bunga di kawasan Ma’ahad Tahfiz Al-Quran.

“Biarpun dianggap lambat menghulurkan bantuan ini, kami merasakan ia permulaan baik dan menjangka program seperti itu diadakan setiap tiga bulan sekali,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Muhamad Zamry berkata, wang penyertaan dan derma daripada peserta turut disumbangkan kepada tempat berkenaan.

Beliau berkata, melihat sambutan memberangsangkan daripada ahli, pihaknya tidak teragak-agak menganjurkan tunggangan amal lebih besar sempena Ramadan ini bagi memberi sumbangan rumah ke anak yatim di kawasan pedalaman.

Menurutnya, program itu perlu dirancang terlebih dulu bagi memastikan kunjungan diberi kepada mereka yang sangat memerlukan.

Sementara itu, penunggang wanita dari Johor, Nursyareena Zolkipli berkata, dia tidak berfikir panjang biarpun terpaksa menunggang jauh untuk menyertai program amal berkenaan.

“Peluang ini mesti direbut. Lagi pun, saya sangat gembira kerana berpeluang membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

“Selain itu, saya berpuas hati dengan tunggang jarak jauh yang kali pertama memiliki KTM Duke 200,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 1:27 PM