MOTOSIKAL RC 250 varian terbaru yang dilancarkan.
MOTOSIKAL RC 250 varian terbaru yang dilancarkan.

Petaling Jaya: Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd, syarikat pemasangan motosikal KTM di Malaysia optimis mencapai sasaran jualan 5,000 unit pelbagai model keluarannya pada akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Kewangannya, Yeoh Teik Poh berkata, pihaknya yakin keistimewaan jenama KTM yang mampu bersaing biarpun berdepan dengan pasaran mencabar serta kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menurutnya, kehadiran dua varian terbaru iaitu KTM 250 Duke dan RC 250 menjadi pemangkin dalam mencapai sasaran ditetapkan.

“Bagi model KTM Duke, ia mampu dijual antara 200 sehingga 300 unit sebulan manakala 150 sehingga 200 unit bagi KTM RC.

“Kami masih menawarkan model KTM 200 Duke dan KTM RC 250 untuk pasaran tempatan,” katanya selepas pelancaran model itu oleh Pengerusi Eurotech Manufacturer Sdn Bhd, Datuk Seri Syed Badlishah Syed Putra Jamalullail.

Kehadiran model itu melengkapkan keluarga varian Duke dan RC yang sebelum ini ditawarkan dengan enjin berkapasiti 200 serta 390 cc.

Kedua-dua model terbaru itu menggunakan enjin silinder tunggal dengan 31.3 kuasa kuda.

Motosikal itu dijual pada harga jualan tidak termasuk GST iaitu RM17,888 untuk KTM 250 Duke manakala RM18,888 bagi KTM RC 250.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 6:53 AM