MUHAMAD Zamry (kiri) ketika pelancaran Pusat Pameran Gaya Hidup KTM.
MUHAMAD Zamry (kiri) ketika pelancaran Pusat Pameran Gaya Hidup KTM.
Oleh Erywan Norshal


Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd, syarikat pemasang motosikal KTM di Malaysia melancarkan Pusat Pameran Gaya Hidup KTM bagi memberi kemudahan dan perkhidmatan kepada pemilik motosikal jenama itu di negara ini.

Pengurus Besarnya, Muhamad Zamry Abu Samah berkata, pembukaan pusat pameran itu sekali gus bakal memberi kepuasan kepada pelanggan, terutama dalam perkhidmatan selepas jualan lebih baik, selain mahu menerima maklum balas lebih tepat daripada pemilik berhubung jentera mereka.

"Sebagai tambahan, tempat ini juga dijadikan pusat latihan dan membangunkan kemahiran pe­ngedar KTM CKD di Malaysia de­ngan kemudahan teknologi perisian serta perkakas yang termaju.

"Kami melabur hampir RM500,000 untuk mengubah suai bangunan ini untuk mengukuhkan lagi jenama kami di negara ini," katanya selepas melancarkan Pusat Pameran Gaya Hidup KTM di Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Pengerusi Eurotech Manufacturer Sdn Bhd, Datuk Seri Syed Badlishah Syed Putra Jamalullail; Ketua Pegawai Operasi Eurotech Manufacturer Sdn Bhd, Datuk Chia Beng Tat dan Ketua Pegawai Operasi KTM Motorrad AG, Harald Plockinger.

Bangunan tiga tingkat dengan keluasan 831 meter persegi itu dilengkapi ruang pameran motosikal KTM Malaysia CKD, kelengkapan menjual pakaian, barangan cenderahati serta aksesori tambahan.

Sementara itu, Plockinger berkata, pihaknya akan mengembangkan lagi varian motosikalnya dengan memperkenalkan KTM RC250 pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:00 AM