JOEY Chia (kanan), Pravin Menon (kiri) dan Mohd Habibullah bersama model KTM Adventure 1050 CKD.
JOEY Chia (kanan), Pravin Menon (kiri) dan Mohd Habibullah bersama model KTM Adventure 1050 CKD.

Kuala Lumpur: Pengedar dan pemasang motosikal KTM di Malaysia, Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd melancarkan model KTM 1050 Adventure 2016 dipasang sepenuhnya di negara ini.

Model itu sebelum ini diimport sepenuhnya (CBU) apabila diperkenalkan pada Oktober tahun lalu membabitkan 30 unit habis terjual dan kini tampil menerusi versi pemasangan tempatan untuk pilihan harga yang lebih menarik.

Pengurus Pemasaran Acara, Pravin Menon berkata, model asas untuk segmen pengembaraan ini mendapat sambutan menggalakkan menyebabkan syarikat mengambil keputusan memperkenalkan model CKD ini.

“Kami membawa masuk model ini kerana ia sesuai dengan keadaan jalan raya dan persekitaran di Malaysia dengan menyasarkan jualan 170 unit tahun ini pada harga jualan asas bermula daripada RM68,888,” katanya selepas majlis pelancaran model itu di sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun model CKD, tiada perubahan spesifikasi dilakukan dan antara cirinya termasuk dilengkapi tiga mod tunggangan iaitu ketika hujan, jalanan atau sport menggunakan enjin V2 bersesaran 1,050cc.

KTM 1050 Adventure sesuai bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan gaya tunggangan dwi kegunaan serta ketinggian tempat duduk 850 milimeter ideal untuk penunggang lelaki dan wanita.

Motosikal itu kini dibuka untuk tempahan dan bakal berada di pasaran pada akhir bulan ini. Syarikat itu juga akan membawa masuk KTM 1290 Super Duke GT dan 1290 Super Duke R Edisi Khas import sepenuhnya yang bakal berada di pasaran tempatan selepas suku tahun ketiga 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 6:42 AM