MOHAMED Khaled (tiga dari kanan), Syed Azmin (dua dari kanan) dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Pusat Data Synergycloud.
MOHAMED Khaled (tiga dari kanan), Syed Azmin (dua dari kanan) dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Pusat Data Synergycloud.
Oleh Isma Ismail

Senai: Puncak Semangat Sdn Bhd (Puncak Semangat), anak syarikat Kumpulan Al Bukhary, yakin pelaburannya sebanyak RM180 juta untuk Pusat Data Synergycloud dan Kemudahan Komputer Cloud di sini, mampu membantu meningkat ekonomi Johor.

Fasa pertama pusat data itu yang berteknologi tinggi beroperasi sejak Disember tahun lalu dengan menggabungkan teknologi pengkomputeran Cloud CISCO dibangunkan di kawasan seluas 2,500 kaki persegi membabitkan kos RM30 juta.

Fasa kedua pula dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada 2017 membabitkan pelaburan tambahan lebih RM150 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang di kawasan berkeluasan 5.2 hektar di Senai Airport City.

Majlis pelancaran Pusat Data Synergycloud itu dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kelmarin.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat bersekutu Puncak Semangat, Synergycloud Sdn Bhd dan rakan kongsinya, Fujitsu (Malaysia) Sdn Bhd, Lembaga Kemajuan Wilayah Iskandar (IRDA) dan Enigma Harmoni Sdn Bhd, iaitu anak syarikat MMC Corporation.

Menerusi persefahaman itu, Fujitsu akan bertindak sebagai rakan teknologi Puncak Semangat dengan menyediakan kepakaran dalam bidang penyelesaian pusat data.

Enigma Harmoni pula menjalinkan kerjasama dalam pembangunan Fasa 2 Pusat Data Synergycloud itu termasuk berkongsi kepakaran dalam promosi dan pemasaran.

Pengerusi Puncak Semangat, Syed Azmin Syed Nor berkata, pihaknya juga yakin mencapai 20 peratus bahagian pasaran dalam industri dan menjadi peneraju di Malaysia pada 2020.

“Johor mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam menggalakkan pertumbuhan besar bagi industri perkhidmatan.

“Selain itu, lokasi geografi yang strategik di persimpangan laluan perdagangan antarabangsa dan kedudukannya yang dekat dengan Singapura meningkatkan daya tarikan kepada pelabur serta komuniti perniagaan,” katanya.

Menurutnya, pusat data dengan ketara akan meningkatkan ekonomi Johor kerana ia menawarkan perkhidmatan sokongan terkini dan infrastruktur Teknologi Maklumat yang akhirnya akan menarik pelaburan langsung asing.

“Keyakinan kami juga disokong oleh ciri-ciri canggih pusat data kami yang menawarkan tahap Tier 4, yang dianggap sebagai peringkat yang paling ketat keperluannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 8:00 AM