Ahmad Maher (tengah) dan Abdul Jammi  bertanya sesuatu kepada  peserta  Seminar Komprehensif GST 2014.
Ahmad Maher (tengah) dan Abdul Jammi bertanya sesuatu kepada peserta Seminar Komprehensif GST 2014.

Kuala Lumpur: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengenal pasti 40 peratus daripada 7,800 syarikat di bawah naungannya layak mendaftar di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan menjelang April tahun depan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Jammi Abdul Karim berkata, PUNB giat melakukan proses mendaftarkan syarikat terbabit buat masa ini, namun ia masih peringkat awal pelaksanaan sebelum tarikh tutup pendaftaran GST iaitu dua bulan akan datang.

“Untuk mempercepatkan program pendaftaran syarikat, kami menganjurkan 18 program seminar GST sejak awal tahun bagi memberi pemahaman kepada syarikat naungan dan mendaftarkan perniagaan masing-masing,” katanya pada sidang media sempena Seminar Komprehensif GST di sini, semalam.

Seminar Komprehensif GST anjuran PUNB dan Organisasi Runcit Bumiputera (BRO) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan disertai 378 wakil daripada 250 syarikat di bawah naungan PUNB serta BRO.

Beliau berkata, 40 peratus syarikat naungan PUNB yang layak berdaftar di bawah GST terdiri daripada syarikat di bawah sektor pembuatan, pemborongan, dan peruncitan di bawah program Prosper Teras PUNB.

“Syarikat ini diseru melakukan pendaftaran segera tanpa perlu menunggu saat akhir dan kami harap penganjuran seminar bersiri ini terus menarik penyertaan lebih ramai syarikat melakukan pendaftaran,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia sudah mendaftarkan 107,511 syarikat di bawah GST sehingga 27 Oktober lalu iaitu peningkatan 2,037 syarikat daripada hari sebelum itu.

Timbalan Pengarah GST, Ahmad Maher Abd Jalil berkata, pihaknya optimis sasaran mendaftarkan 150,000 syarikat menjelang akhir Disember ini tercapai memandangkan purata pendaftaran harian kini mencecah hingga 2,000 sehari.

Menurutnya, syarikat yang melakukan pendaftaran awal GST diberi keutamaan mengikuti program sokongan yang dimulakan sejak minggu lalu di mana 20,000 syarikat dibahagikan kepada 19 sektor memandangkan setiap sektor mempunyai isu khusus untuk ditangani dan dibincangkan secara lebih teliti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:15 AM