Kuala Lumpur: Jumlah syarikat yang mendaftar di bawah sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) melebihi sasaran awal ditetapkan dengan jumlah keseluruhan sehingga 31 Disember 2014 adalah sebanyak 300,730 syarikat.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, daripada jumlah berkenaan, kira-kira 84 peratus melakukan pendaftaran secara mandatori dan 16 peratus pendaftaran secara sukarela.

“Jumlah ini adalah melebihi jangkaan awal yang sudah ditetapkan oleh kerajaan. Pendaftaran bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah sebanyak 266,003.

“Malah, sistem pengkomputeran MyGST sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi pelaksanaan GST kelak,” katanya.

Menurutnya, kerajaan optimis GST akan dapat dilaksanakan dengan lancar apabila dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 April 2015.

“Ini adalah hasil daripada usaha giat yang sudah dan sedang dijalankan oleh semua pihak terutamanya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selaku agensi pelaksana bagi memastikan syarikat yang mencapai nilai had RM500,000 berdaftar dengan JKDM sebelum 31 Disember 2014.

“JKDM sentiasa mengadakan program bimbingan secara berterusan bagi memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar supaya peniaga dapat memahami dengan lebih jelas terhadap prosedur dan peraturan GST,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan GST ini adalah langkah fiskal kerajaan untuk terus mengukuhkan ekonomi negara, membangunkan kemudahan infrastruktur moden dan mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih cekap dalam memacu negara ke arah mencapai negara maju menjelang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 10:10 AM