AKSI Chong Wei ketika sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.
AKSI Chong Wei ketika sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: “Terpulang kepada keputusan BAM dan Morten Frost Hansen,” ujar Datuk Lee Chong Wei apabila ditanya sama ada dia masih berpeluang disenaraikan ke Kejohanan Dunia 2015 Jakarta.

Menurut Chong Wei, pada masa ini dia tidak boleh membuat andaian lagi sama ada akan beraksi di kejohanan itu, namun berharap disenaraikan.

“Disebabkan masalah doping ini saya tidak dapat melayakkan diri ke kejohanan dunia sebagai dua pemain perseorangan lelaki terbaik Malaysia, namun terpulang kepada Frost dan BAM membuat keputusan,” katanya di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Chong Wei, kembali turun berlatih semalam selepas penggantungannya tamat kelmarin dan membuat persiapan untuk menyertai Piala Sudirman 10 hingga 17 Mei ini.

Kata bekas pemain nombor satu dunia itu, dia tidak boleh buat apa-apa mengenai penyenaraian pemain ke Jakarta kerana keputusan akan dibuat Pengarah Teknikal itu.

“Kalau Chong Wei Feng dan Zulfadli Zulkiffli pergi, saya kena terima kerana ia keputusan BAM. Saya harus fokus memperbaiki kedudukan ranking.

“Selepas bincang dengan jurulatih, Hendrawan dan Frost, saya tidak akan ke Super Siri Terbuka Australia dan Siri Super Premier Terbuka Indonesia,” katanya.

Chong Wei juga meminta disenaraikan di Grand Prix (GP) Emas Terbuka Amerika Syarikat dan GP Kanada untuk memperbaiki ranking agar dapat bermain di Siri Super tanpa perlu melalui pusingan kelayakan.

Selepas ranking terbaru dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kelmarin, Wei Feng berada di tangga ke-31, diikuti Zulfadli 41, manakala Chong Wei tergelincir di tempat ke-45.

Hanya dua pemain terbaik negara disenaraikan secara automatik ke Kejohanan Dunia pada Ogos dan Chong Wei boleh beraksi jika salah seorang dikorbankan.

“Sekarang saya macam geram selepas lama tidak beraksi di mana-mana kejohanan. Kejohanan pertama saya iaitu Piala Sudirman memang menaikkan semangat,” katanya.

Sementara itu, Frost berkata, keputusan belum dibuat mengenai pemain ke Jakarta kerana masih menunggu senarai rasmi BWF.

“Saya rasa senarai itu akan keluar Isnin atau Selasa ini. Bagaimanapun, kita sudah mempunyai program untuk Chong Wei.

“Peluang beraksi di Terbuka Australia dan Indonesia agak tipis, kita lupakan perkara itu. Dia akan beraksi di Piala Sudirman, diikuti Sukan SEA 2015 Singapura. Selepas itu kita akan menghantarnya ke Terbuka AS dan Terbuka Kanada selain melalui program normal bermain di Siri Super Terbuka Denmark, Perancis, China dan Hong Kong,” katanya yang gembira Chong Wei kembali turun berlatih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:45 AM