Helmi Talkah


JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) mengakui dia tidak akan beraksi pada saingan Siri Super Akhir di Dubai, bulan depan sekalipun layak secara merit.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, berkata saingan Terbuka China yang bermula Selasa ini dan Terbuka Hong Kong (21 hingga 26 November) adalah yang terakhir buat dirinya untuk tahun ini.

“Kalau saya layak pun, saya belum pasti akan bermain di Dubai. Saya perlu fikirkan semula nanti. Buat masa sekarang, Terbuka China dan Terbuka Hong Kong adalah dua kejohanan terakhir saya.

“Selepas itu, saya mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga saya. Saya perlu berlaku adil dengan keluarga saya kerana selama ini mereka banyak berkorban dan sentiasa beri sokongan kepada saya,” kata Chong Wei.

Berdasarkan kedudukan ranking Siri Super, Chong Wei ketika ini menghuni tangga kelapan dan jika berjaya melakar keputusan positif di Terbuka China dan Hong Kong, slot untuk dia ke Dubai sudah terjamin.

Hanya lapan pemain terbaik dalam kedudukan ranking Siri Super layak beraksi di Dubai - kejohanan kemuncak bagi saingan Siri Super yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1 juta (RM4.19 juta).

Mengulas mengenai penampilannya di Terbuka China, Chong Wei mengakui kejohanan itu penting dalam usahanya untuk kembali mendapat semula keyakinan selepas tersingkir awal di Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis, bulan lalu.

“Saya tidak bermain dengan baik di dua kejohanan itu, jadi di China saya perlu lebih fokus. Saya tidak terlalu fikir untuk menjadi juara sebaliknya apa yang paling penting saya dapat semula keyakinan saya,” kata pemain berusia 35 tahun itu.

Chong Wei akan membuka tirai saingan di China menentang pemain Taiwan, Hsu Jen Hao.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 5:45 PM