Sukarelawan membantu petugas mencari dan menyelamat di bangunan yang runtuh dalam kejadian gempa bumi di sebahagian besar Nepal, tengah hari tadi. FOTO AP
Sukarelawan membantu petugas mencari dan menyelamat di bangunan yang runtuh dalam kejadian gempa bumi di sebahagian besar Nepal, tengah hari tadi. FOTO AP

Kathmandu (Nepal): Sekurang-kurangnya 114 orang terbunuh setakat petang ini dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter di sebahagian besar Nepal, tengah hari tadi.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Nepal Laxmi Prasad Dhakal berkata, di Kathmandu, 71 orang dilaporkan terbunuh.

“Seramai 43 lagi dilaporkan terbunuh di kawasan berhampiran daerah Bhakpatur,” katanya kepada AFP.

Bencana terburuk dalam sejarah Nepal sejak 80 tahun lalu itu menyebabkan rumah dan bangunan musnah, Menara Dharahara yang dibina pada 1832 runtuh, manakala kemudahan awam seperti jalan raya rosak teruk.

Ramai yang cedera, manakala jumlah kematian sebenar belum dapat dipastikan.

Menurut saksi, penduduk berlari di sepanjang jalan dalam keadaan panik, ambulans tidak henti-henti membawa mangsa yang cedera ke hospital dan helikopter milik kerajaan berlegar di udara selepas gempa bumi berlaku.

“Radio tempatan memberi amaran kepada penduduk supaya berada di luar kerana kerana dibimbangi akan berlaku lagi gempa bumi,” katanya.

Sejam selepas gempa bumi pertama, gempa bumi kedua berukuran 6.6 skala Richter menyusul.

Menara Dharahara yang runtuh turut menyebabkan puluhan penduduk terperangkap dan nasib mereka belum diketahui.

Lapangan terbang turut ditutup, sekali gus memberi kesan besar kepada pelancong terutama pendaki gunung Everest.

Nepal pernah dilanda gempa bumi pada 1934, mengorbankan ribuan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 6:32 PM