WANITA Nepal, Mayatamang, 20,  bersama anak perempuannya yang baru berusia sehari di luar hospital di Bhaktapur.
WANITA Nepal, Mayatamang, 20, bersama anak perempuannya yang baru berusia sehari di luar hospital di Bhaktapur.
PENDUDUK setempat tidur di pembahagi jalan raya di Kathmandu, semalam.
PENDUDUK setempat tidur di pembahagi jalan raya di Kathmandu, semalam.
SEORANG lelaki melihat  kerosakan sebuah bangunan di Chautara.
SEORANG lelaki melihat kerosakan sebuah bangunan di Chautara.
AFP

Kathmandu: Pasukan penyelamat semalam bertungkus-lumus mencari mangsa terselamat dalam gempa bumi terbaru di Nepal yang menyebabkan tanah dan beberapa bangunan runtuh.

Pada masa sama, usaha turut dijalankan untuk mencari helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) yang hilang ketika menghantar bantuan.

Ribuan mangsa yang masih trauma akibat bencana pertama April lalu, menghabiskan malam di luar kerana takut kembali ke rumah sendiri berikutan gempa bumi 7.3 magnitud itu.

Puluhan orang terbunuh dalam bencana terbaru menjadikan jumlah keseluruhan mangsa sejak gempa pertama meningkat kepada 8,200 orang.

Ia turut menyukarkan penghantaran bantuan kepada mangsa di lokasi terpencil yang terdesak memerlukan bekalan air bersih, makanan dan tempat perlindungan.

Dalam pada itu tentera Nepal meneruskan pencarian helikopter pasukan Marine AS yang hilang ketika operasi menghantar bantuan di Dolakha, timur Nepal, berhampiran lokasi pusat gempa terbaru.

Menurut Pentagon, helikopter yang membawa enam anggota marin AS dan dua askar Nepal itu mungkin mengalami masalah minyak ketika hilang.

Jurucakap kementerian dalam negeri Nepal Laxmi Prasad Dhakal berkata: “Helikopter yang hilang itu masih belum ditemui. Empat helikopter sudah dihantar untuk mengesannya.

“Helikopter itu menuju ke Dolakha dengan membawa bantuan ketika terputus hubungan.”

Menurutnya, setakat ini 65 disahkan mati dalam bencana terbaru yang berpusat 76 kilometer di timur Kathmandu selain turut mengakibatkan kematian 17 orang di utara India.

“Sebelum ini kami memfokuskan penghantaran bantuan namun mulai semalam sekali lagi melancarkan operasi menyelamat,” katanya.

Gempa bumi kelmarin dapat dirasakan sehingga New Delhi malah turut menyebabkan bangunan di Tiber runtuh dan membunuh sekurang-kurangnya seorang penduduk.

Gegaran kedua dan beberapa gegaran susulan turut dirasa.

Dua bangunan besar yang rosak ketika gempa 7.8 magnitud pada 25 April lalu runtuh selepas gegaran kelmarin.

Dolakha dan Sindhupalchowk - dua lokasi paling teruk terkesan akibat gempa pertama - mengalami lebih banyak kerosakan berikutan kejadian kelmarin.

Jurucakap Palang Merah Nichola Jones berkata, pihaknya menerima laporan bahawa ramai yang cedera di Chautara di Chautara di Sindhupalchowk.

“Ratusan orang datang mendapatkan rawatan untuk pelbagai jenis kecederaan malah puluhan pembedahan juga sudah dilakukan,” katanya.

Beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan di lokasi paling teruk terjejas seterusnya menyukarkan lagi penghantaran bantuan kepada penduduk di kawasan pedalaman.

Organisasi Save the Children berkata, wilayah Gorkha yang terletak berhampiran pusat gempa 25 April lalu juga mengalami tanah runtuh menyebabkan jalan utama terputus hubungan.

Jurucakap polis Kamal Singh Bam berkata: “Walaupun anggota kami sudah berada di lokasi terjejas akibat gempa bumi, keadaan jalan kini menyukarkan penghantaran bantuan.”

Sebelum ini ramai di Kathmandu sudah mula kembali ke rumah mereka selepas berminggu-minggu tidur di luar. Tetapi, selepas kejadian terbaru mereka kembali tidur di dalam khemah.

Kabita Maharjan, 38, ibu dua anak berkata dia takut untuk pulang ke rumahnya.

“Kami semua takut selepas kejadian terbaru. Saya tidak dapat bayangkan tidur di dalam rumah bersama anak-anak. Tetapi kami juga tidak dapat tidur nyenyak di dalam khemah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:41 AM