BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan menerusi entiti tujuan khas, Malaysia Sukuk Global Bhd, berjaya menetapkan penanda aras sukuk AS$1.5 bilion (RM5.8 bilion), yang terlebih langgan 4.2 kali.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan berkata sukuk berkenaan, Global Trust Certificates (Wakala Global Sukuk), dibahagikan kepada bahagian 10 tahun AS$1 bilion dan bahagian 30 tahun melibatkan AS$500 juta (RM1.9 bilion), masing-masing pada 3.179 peratus dan 4.08 peratus.

"Urus niaga itu menarik minat aggregat lebih AS$6.3 bilion (RM24.4 bilion) daripada gabungan pelabur melebihi 195 akaun," katanya.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah berkata, penetapan harga itu adalah kejayaan besar berdasarkan harga yang ketat dan sambutan baik ke atas sukuk penting ini.

Harga ditetapkan selepas jelajah di seluruh pusat kewangan dunia, termasuk di sini, Hong Kong, Singapura, Abu Dhabi, Dubai, London dan New York. CIMB, HSBC, JP Morgan dan Maybank merupakan pengurus bersama dan pengurus bersama utama bagi penawaran ini.

Fitch Ratings Ltd dan Standard and Poor’s Ratings Services dijangkakan memberikan penarafan 'A-' manakala Moody’s Investors Services Ltd pada 'A3' ke atas sukuk berkenaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 12:24 PM