PENGASAS Butik Ratu, Juwita Abdullah.
PENGASAS Butik Ratu, Juwita Abdullah.
MELUANGKAN masa melayan pelanggan setia di butik miliknya.
MELUANGKAN masa melayan pelanggan setia di butik miliknya.
BERSAMA kakitangan yang setia dengannya.
BERSAMA kakitangan yang setia dengannya.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


Jika melihat kepada kecenderungan terkini dalam aliran fesyen, masyarakat kini dikatakan semakin menggemari gaya busana Muslimah yang sememangnya sopan dipandang.

Tudung misalnya, sudah tidak terhad kepada satu dua gaya saja kerana terdapat pelbagai aliran dan rekaan baru yang mendapat sambutan di pasaran.

Ia dicetuskan oleh minat wanita hari ini yang mahu tampil lebih bergaya dan tidak ketinggalan mencuba pelbagai rekaan baru yang bersesuaian.

Tidak hairanlah jika beberapa jenama fesyen Muslimah di negara ini memiliki populariti yang dikatakan melebihi label fesyen kontemporari terkenal dari luar negara.

Antara yang sering menjadi sebutan adalah koleksi Galeri Hijab dan Busana Ratu yang diasaskan wanita gigih dari Kelantan, Juwita Abdullah.

Jenama berkenaan bukan asing lagi untuk diperkenalkan kerana sudah lama bertapak kukuh dan menjadi pilihan ramai wanita yang ingin bergaya dengan fesyen terkini.

Pelbagai pilihan disajikan antaranya tudung segera, selendang dan juga skaf bagi memenuhi keperluan penampilan terkini busana Muslimah.

“Jenama ini menyediakan pelbagai jenis pilihan dan secara tidak langsung ma­syarakat boleh memilih apa yang mereka minati.

“Ada jenis tudung yang terus disarungkan dan amat ringkas, tidak kurang juga selendang yang boleh disuntik pelbagai teknik bertudung.

“Untuk mereka yang ingin mempelajari teknik bertudung dalam penataan gaya lebih canggih atau kontemporari, koordinator fesyen busana kami boleh membantu,” katanya.

Mengenai jenama yang diusahakan itu, Juwita, 46, berkata, semuanya bermula kerana minat mendalam terhadap dunia fe­syen Muslimah di negara ini.

Namun, bidang perniagaan bukan asing kerana keluarganya turut mempunyai asas dalam perniagaan sebelum ini. Niat utamanya ketika menceburi bidang perniagaan terbabit adalah bagi menzahirkan minat wanita untuk menutup aurat.

“Bagi saya, menghasilkan rekaan yang boleh dimanfaat oleh wanita juga salah satu dakwah secara berseni.

“Saya berpegang teguh kepada prinsip meskipun agama tidak pernah melarang umatnya bergaya dan mengikuti aliran fe­syen terkini, sebaiknya perlu menutup aurat dengan sempurna.

“Disebabkan itu, saya mahu terus melahirkan rekaan fesyen pakaian dan tudung yang bukan saya mengikut aliran terkini malah mematuhi tuntutan agama,” katanya.

Menurut Juwita, keanggunan wanita bukan hanya terletak pada budi bahasa semata-mata kerana penampilan luaran juga perlu diambil kira.

Jelasnya, sebagai Muslimah, fesyen tudung dan pakaian yang dipilih mestilah mempunyai ciri sopan serta menutup aurat bagi menghayati nilai Islam sejati.

Kata Juwita, jika dilihat perkembangan ilham fesyen tudung dan busana Muslimah hari ini, dia yakin percaturannya selama ini tidak silap. Tudung contohnya bukan setakat rekaan biasa kerana ia perlu dipelbagaikan bagi disesuaikan dengan semua lapisan umur.

“Tambahan pula, tudung kini digemari bukan hanya golongan berusia sebaliknya golongan remaja.

Perkembangan itu sedikit sebanyak membuktikan rekaan tudung atau fesyen Muslimah itu juga mampu menjadi medium untuk mengajak masyarakat ke arah fesyen yang lebih sopan.

“Insya-Allah, saya memasang cita-cita untuk membawa jenama ini ke peringkat antarabangsa,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 1:30 PM