KOLEKSI lebaran kali ini beri tumpuan kepada gabungan warna terang dan pastel.
KOLEKSI lebaran kali ini beri tumpuan kepada gabungan warna terang dan pastel.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Mengambil kemeriahan atas keinginan wanita yang kini menggemari gaya pemakaian tudung yang cepat dan mudah namun masih mengekalkan pesona glamor, Galeri Muslimah Ariani tampil dengan koleksi Ariani Lebaran 2015 menerusi dua segmen menarik bertemakan Graceful Lebaran by Ariani dan Lavish Lebaran by Ariani yang menonjolkan gaya lebih memikat, moden dan elegan.

Masih mengekalkan kualiti sama, koleksi lebaran kali ini memberikan tumpuan kepada gabungan warna terang dan pastel menjadikan padanan rona lebih mudah dan serasi. Malah wanita boleh memilih padanan warna mengikut cita rasa masing-masing dengan lebih 40 pilihan hijab koleksi baru menjelang Aidilfitri.

Memberi penekanan kepada gaya pemakaian tudung segera, disediakan pilihan daripada latar polos sehingga motif cetakan yang menjadikan setiap koleksi menepati cita rasa pelanggan.

Menurut Pengarah Pemasaran Ariani Textiles & Manifacturing (M) Sdn Bhd Datin Farah Haryani Muhammad Philip, produk Ariani direka dengan tiga unsur iaitu eksklusif, sopan dan kontemporari.

Sebagai salah satu anak syarikat Kumpulan jakel Galeri Ariani mempunyai kelebihan dalam penggunaan fabrik yang memberikan keselesaan kepada si pemakai berbanding jenama pengeluar tudung lain.

Pemilihan Nurul Syuhada Nurul Ain dan Bella Dally sebagai duta Galeri Ariani pada tahun ini juga untuk mengubah persepsi bahawa jenama ini sebenarnya sesuai untuk semua golongan usia.

“Galeri Ariani satu-satunya butik tudung yang menyediakan 1,001 jenis kepada peminat dan pelanggannya. Mengekalkan tema unik, moden, canggih dan elegan, galeri ini tidak hanya memberi tumpuan kepada satu kumpulan sasaran sebaliknya dihasilkan mengikut kesesuaian peng­guna agar tampil bergaya mengikut fesyen semasa,” katanya.

Bagi yang menggemari gaya minimum, koleksi Ariani 2015 menyediakan pelbagai hijab dengan perincian sederhana. Padanan renda ringkas serta taburan kristal swarovski menjadikan setiap helaian berada dalam kelas tersendiri.

Majlis pertunjukan fe­syen turut dihadiri Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agung Tuanku Sultanah Hajah Haminah yang sudi mencemar duli untuk hadir dalam acara berprestij seterusnya merasmikan laman sesawang www.arianionline.com.

Tahun ini, Ariani melancarkan koleksi pakaian sedia dipakai yang mensasarkan kepada semua golongan khususnya Muslimah yang ingin berpenampilan elegan tetapi menurut syariat Islam. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.facebook.com/galeri ariani atau Instagram @galeriariani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 11:48 AM