Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Sebanyak 88 notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terhadap peniaga sepanjang Operasi Pematuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan yang dijalankan selama 15 hari bermula 1 April lalu.

Pengarahnya Muez Abdul Aziz berkata, sepanjang operasi yang berakhir hari ini, 466 premis sudah diperiksa membabitkan 292 peruncit, 81 restoran, lima hotel dan 88 premis perniagaan yang lain.

Menurutnya, 61 notis dikeluarkan kepada peniaga kerana menaikkan harga barang yang tidak munasabah manakala 27 lagi notis dikeluarkan bagi caj perkhidmatan.

"Sepanjang operasi ini, sebanyak 20 kes diambil dan siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum keputusan dapat diambil untuk tindakan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan jika sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 2:20 PM