Anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang ketika melakukan pemeriksaan harga barangan elektronik termasuk peranti di beberapa lokasi sekitar negeri ini. FOTO IHSAN KPDNHEP
Anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang ketika melakukan pemeriksaan harga barangan elektronik termasuk peranti di beberapa lokasi sekitar negeri ini. FOTO IHSAN KPDNHEP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang sudah memeriksa 51 premis perniagaan di negeri ini bagi memantau penjualan peralatan elektronik.

Pemeriksaan menerusi Op Catut 8.0 itu dilakukan sejak 25 Januari lalu sehingga hari ini bagi memastikan tiada peniaga menaikkan harga peranti di peringkat runcit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, sebanyak lapan notis mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pemilik premis perniagaan bagi mendapatkan maklumat untuk tujuan siasatan lanjut.

Katanya, pemilik premis yang didapati memanipulasi harga kelengkapan elektronik boleh diambil tindakan sekiranya didapati melakukan kesalahan.

"Pemeriksaan itu juga bertujuan bagi memberi keyakinan kepada golongan ibu bapa bahawa tiada kenaikan harga atau peniaga memanipulasi harga tinggi bagi kegunaan pelajar semasa sesi persekolahan dalam talian ketika ini.

"Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kenaikan harga peralatan elektronik boleh menghubungi KPDNHEP supaya tindakan lanjut dapat diambil," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Pulau Pinang menerusi talian 04-3840245, Pusat Arahan Penguatkuasaan (03-88826088/03-8882 6245) dan Portal e-aduan KPDNHEP (https://eaduan.kpdnhep.gov.my).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 5:28 PM