MUEZ (dua dari kiri) memeriksa sebuah pasar raya di  Ampang, semalam.
MUEZ (dua dari kiri) memeriksa sebuah pasar raya di Ampang, semalam.

Kuala Lumpur: Seramai 88 peniaga ‘tamak’ diambil tindakan tegas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas didapati menjual barangan pada harga tidak munasabah.

Mereka turut dikesan mengenakan caj perkhidmatan tidak munasabah kepada pengguna.

Pengarah KPDNKK Muez Abdul Aziz berkata, kegiatan penipuan itu berjaya dibongkar hasil Operasi Pematuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selama 15 hari yang berakhir semalam.

“Antara kesalahan serius dikesan adalah menaikkan harga barangan melebihi nilai munasabah dan caj perkhidmatan melebihi kadar sepatutnya.

“Pemeriksaan secara menyeluruh itu dilaksanakan secara bersepadu dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan GST,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 466 premis sudah diperiksa membabitkan 292 peruncit, 81 restoran, lima hotel dan 88 premis perniagaan yang lain.

Menurutnya, 61 notis dikeluarkan kepada peniaga kerana menaikkan harga barang yang tidak munasabah manakala 27 lagi notis dikeluarkan bagi caj perkhidmatan.

“Sepanjang operasi ini, sebanyak 20 kes diambil dan siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum keputusan dapat diambil untuk tindakan.

“Jika peniaga berkenaan gagal memberikan alasan munasabah dan didapati bersalah melanggar peraturan yang ditetapkan, pihak kementerian akan mendakwa mereka di Mahkamah Seksyen Khas yang ditubuhkan untuk mengendali kes berkaitan pencatutan,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di Pasarayan AEON AU2, Ampang, semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan jika sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 8:58 AM