PEARLY (kanan) dan Thinaah akur dengan mata kemenangan Jepun yang diraih Mayu-Misaki dalam aksi beregu wanita. FOTO
PEARLY (kanan) dan Thinaah akur dengan mata kemenangan Jepun yang diraih Mayu-Misaki dalam aksi beregu wanita. FOTO
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Usaha skuad negara untuk terus melakar kejutan di Piala Sudirman 2021 tidak kesampaian apabila tumpas 1-3 kepada Jepun dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Vantaa, Finland sebentar tadi.

Selepas mengejutkan Indonesia di suku akhir semalam, perjalanan Malaysia di kejohanan berpasukan campuran itu menemui titik noktah dan hanya menyamai pencapaian terbaik seperti yang dilakar pada 2009 di Guangzhou, China.

Ia juga kekalahan kedua berturut-turut skuad negara di kejohanan ini kepada Jepun, selepas sebelum ini mereka kalah 1-4 di peringkat kumpulan.

Hasrat Malaysia untuk memulakan saingan dengan meraih mata tidak kesampaian selepas beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalah straight set kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 15-21, 14-21.

Jepun yang juga naib juara edisi 2019 mendahului 2-0 apabila perseorangan wanita negara, S Kisona kalah 7-21, 5-21 ketika berdepan Akane Yamaguchi.

Bagaimanapun, Malaysia kembali menghidupkan peluang apabila ketua pasukan, Lee Zii Jia berjaya mengejutkan perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota selepas menang straight set 22-20, 21-19

Mata kemenangan Jepun diperoleh melalui beregu wanita apabila pasangan negara, Pearly Tan-M Thinaah tumpas 19-21, 17-21 ketika berdepan Mayu Matsumoto-Misaki Matsutomo.

Menanti Jepun di perlawanan akhir ialah China selepas menumpaskan Korea Selatan 3-0 dalam aksi terdahulu sekali gus mengulangi final 2019 di Nanning.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 1:05 AM