Anggota kumpulan f(x) iaitu Krystal hampir pitam pada konsert SMTOWN Live in Shanghai pada 18 Oktober lalu.

Menurut agensi­nya, SM Entertainment, Krystal diminta berehat apabila mengalami pening selepas melakukan persembahan pada konsert, Sabtu lalu.

"Pada masa ini, dia kembali ke set drama dan memulakan jadual seni seperti biasa," kata wakil agensi.

Krystal dikatakan hampir pitam usai menyanyikan lagu Red Light.

"Dia dilihat memakai cermin mata hitam di atas pentas dan berjalan keluar sebaik tamat persembahan.

"Menurut saksi, dia jatuh sebaik turun pentas dan sempat disambut Victoria.

Seorang kakitangan terus me­ngangkatnya ke van yang menunggu di luar dewan," kata wakil agensi lagi.

Pada masa ini, Krystal membinta­ngi drama terbitan SBS berjudul My Lovely Girl.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:01 AM