Razarudin Husain
Razarudin Husain
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau tujuh kumpulan ajaran sesat yang berkaitan dengan isu keselamatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, tujuh kumpulan itu adalah Tarekat Habib Shah, Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN), Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Millah Abraham@Ibrahim, Ajaran Suhaini@SiHulk, Nur Mutiara Mutmainnah (NMM) dan The Ahmadi Religion of Peace and Light.

Menurutnya, sepanjang 2022 hingga tahun ini sebanyak 51 laporan polis direkodkan berhubung aktiviti kumpulan ajaran sesat atau menyeleweng.

"Bagi tempoh berkenaan, sebanyak 23 tangkapan sudah dilakukan PDRM dan agensi berkaitan terhadap pemimpin dan pengikut ajaran sesat dan menyeleweng.

"Jumlah tangkapan ini membabitkan Tarekat Habib Shah sebanyak 20 tangkapan dan masing-masing satu tangkapan bagi ajaran Ilmu Akhir zaman, NMM dan Ajaran Suhaini@Sihulk," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, PDRM memandang serius penyebaran ajaran sesat yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan dan menggugat ketenteraman awam.

"Pemantauan rapi dijalankan dalam perkara ini bagi memastikan tiada penganut atau pengamal ajaran sesat yang melangkaui garisan keselamatan.

"PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi mengikut peruntukan Kanun Keseksaan dan Multimedia 1998 sekiranya terdapat penganut atau pengamal ajaran sesat membuat tindakan yang boleh mendatangkan kegusaran awam, suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan yang boleh mendatangkan mudarat tahap keselamatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 4:44 PM