Mengemudikan sesuatu majlis sepatutnya perlu dilakukan dengan bijak.

Ini kerana jika tidak bijak, silap haribulan tetamu akan naik menyampah.

Apatah lagi jika penonton sudah terlalu lama menunggu, maka pengacara perlu bijak memainkan peranan supaya penonton tidak bosan dan paling penting mampu mengawal suasana.

Tapi lain pula yang SS dengar mengenai seorang artis ini sewaktu mengacarakan sebuah majlis baru-baru ini.

Apa yang berlaku kehadirannya bukannya melancarkan majlis, tetapi membuatkan ramai pula yang meluat.

SS dimaklumkan, majlis berkenaan yang sepatutnya berlangsung dengan penuh kelas menjadi sebaliknya sebaik artis berkenaan mengambil-alih pentas, serta-merta suasana bertukar seperti acara sukan sekolah.

Itu belum lagi dengan keletahnya yang langsung tidak lawak. Walaupun dia nampak yakin boleh menghiburkan orang ramai, tetapi penonton yang hadir nampaknya makin hilang minat mahu menikmati suasana majlis.

Kata teman SS yang ada di situ, majlis berkenaan sepatutnya boleh berakhir cepat memandangkan atur caranya juga mengambil masa namun gara-gara ‘bebelan’ artis terbabit melambatkan lagi acara.

Lebih menyakitkan hati, lawak yang dibuat tidak kena tempat dan kebanyakan masa dia cuma menampakkan dirinya kurang bijak.

SS: Rela keluar hidu udara segar jika majlis hambar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:08 AM