Kontroversi adalah sebahagian daripada asam garam dunia hiburan yang harus dilalui seseorang artis. Tidak kira baik atau buruk, sebagai artis, jika ingin bertahan mereka harus menerima segala-galanya dengan hati terbuka.

Kerana itulah dapat kita lihat beberapa artis yang mampu bertahan dengan kontroversi terus berjaya sehingga hari ini kerana bijak menangani kontroversi mereka.

Berbeza dengan artis yang cepat melatah apabila dilanda kontroversi dapat dilihat populariti mereka kian menurun dan orang sudah malas hendak ambil tahu disebabkan sikap cepat melatah.

Bercakap soal kontrversi, baru-baru ini teman SS menemubual seorang artis. Dalam pada seronok menemubual terkeluar pula soalan kontroversi yang sedang dia hadapi.

Tiba-tiba dia berubah perangai dan menjadi sedikit emosi sehingga soalan lain yang diajukan dia seperti malas hendak jawab. SS sedar itu masalah dia yang mungkin sensitif untuk dikongsi dengan media. Namun, sebagai artis dia harus akur dan bersedia dengan apa juga soalan yang bakal ditanya.

Kalau ya pun soalan itu sangat sensitif padanya, cubalah jawab sebaik mungkin dan kalau tidak boleh senyum saja. Sebagai artis inilah harga yang harus anda bayar dan sentiasa bersedialah dengan setiap soalan yang bakal menerpa.

Difahamkan, selepas sesi temu bual itu, dia mula 'moody' dan sesi fotografi hari itu menjadi singkat difahamkan dia sudah tidak mahu meneruskannya lagi. Apa yang SS boleh katakan, pada awal kemunculannya artis ini seorang yang profesional dan terbuka menjawab setiap soalan. Walaupun sensitif, dia bijak menjawabnya.

Namun, kini tidak tahulah apa sebab yang membuatkan dia berubah dan cepat melatah.

SS: Belajar lebih sabar melayan kerenah orang sekeliling.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:00 AM