MOHD Fadil (tengah) menyaksikan MoU ditandatangani MARDI dan Rhino Research Europe.
MOHD Fadil (tengah) menyaksikan MoU ditandatangani MARDI dan Rhino Research Europe.
Oleh Mohd Sabran Md Sani

Satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Rhino Research Europe B V, Netherlands bagi memperkukuh­kan kerjasama pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam biji benih.

Perjanjian kerjasama itu dalam usaha MARDI menghasilkan kualiti biji benih dan meningkatkan pembangunan modal insan melalui latihan serta kepakaran antara kedua pihak.

Majlis perjanjian persefahaman itu dihadiri Pe­ngerusi Lembaga Pengelola MARDI, Datuk Mohd Fadil Osman; Timbalan Ketua Pengarah (R&D) MARDI, Dr Azizan Ab Rashid dan Timbalan Presiden Centor Thai, Patcharin Taridno.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Sharif Haron menandatangani MoU bagi pihak MARDI, manakala syarikat berkenaan diwakili Pengarah Urusannya Johan Van Asbrouck.

Perjanjian itu diadakan di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, baru-baru ini.

Penubuhan jaringan kerjasama ini dipersetujui kedua pihak bagi tempoh lima tahun dalam bidang berkaitan sains dan teknologi biji benih.

MARDI memilih menjalinkan kerjasama de­ngan Rhino Research Europe kerana syarikat itu sebagai peneraju dalam bidang berkaitan teknologi biji benih terkemuka di dunia.

Ia berdasarkan penyelidikan dan pengalaman dalam penghasilan produk dan perkhidmatan dalam teknologi biji benih yang sudah dipatenkan.

Rhino Research Europe akan menyediakan teknologi, kepakaran saintifik dan teknikal serta khidmat perundingan.

Unit Pengeluaran Bahan Tanaman, Biji Benih dan Baka Ternakan (BB) MARDI adalah unit yang menjalankan penyelidikan dan kemajuan dalam bidang teknologi biji benih serta pengeluaran bahan tanaman dan biji benih asas.

Unit BB juga menyediakan perkhidmatan ujian kualiti biji benih dan jualan bahan tanaman dan biji benih berkualiti.

Ketika ini, sebuah makmal akreditasi persatuan benih antarabangsa (ISTA) dibangunkan.

Makmal berkenaan terbabit dalam pengesahan kualiti biji benih yang diimport dan eksport sejajar dengan usaha kerajaan dalam membangunkan Akta Kualiti Benih Tanaman sebaik dikuat kuasa kelak.

Mohd Fadil berkata, MARDI sangat mengalukan lebih banyak penyertaan daripada pihak swasta dalam meningkatkan lagi penyelidikan terhadap biji benih.

Malah, Rhino Research ­Europe menjalinkan kerja­sama untuk kali kedua dalam usaha berkongsi kepakaran berkaitan biji benih.

"Kualiti biji benih mencerminkan mutu dan kesinambu­ngan aktiviti pertanian dan pembekalan makanan pada masa depan.

"Dengan MoU ini, saya yakin MARDI yang mewakili kerajaan akan berjaya dan kerjasama syarikat ini diharap akan mencari formula baru untuk mengeluarkan biji benih berkualiti," katanya.

Sementara itu, Dr Sharif berkata penyelidikan terhadap biji benih yang dilaksanakan MARDI merang­kumi padi, sayuran dan bahan tanaman.

"MARDI mempunyai biji benih menyeluruh membabitkan padi (paling maju), sayuran, tetapi semua­nya hasil penyelidikan dilakukan, selain ada bahan tanaman.

"Ada pokok tidak menghasilkan biji benih, tetapi ia bahan tanaman.

"Contohnya buah mang­ga, walaupun tidak ada benih, tetapi ia bahan tanaman dan semuanya berkaitan tanaman makanan," katanya.

Pencapaian paling membanggakan katanya menerusi penyelidikan terhadap benih padi.

Mengulas lanjut kata­nya, perjanjian dilaksanakan itu memberi kesan cukup baik kepada MARDI meng­hasilkan biji benih berkualiti.

"Syarikat ini (Research Europe) mempunyai jaringan baik di seluruh dunia, selain mempunyai teknologi yang dapat meningkatkan kualiti bahan biji benih.

"MARDI pula mempunyai teknologi, tetapi dengan adanya teknologi ini secara formal kami diberi peluang untuk me­ngadakan program baru," katanya.

Rhino katanya sedia membantu dari aspek kepakaran serta memberi peluang dalam jaringan bersama entiti lebih maju.

"Paling mustahak, pusat ini dapat memberi jaminan kepada biji benih berkualiti seiring makmal ke arah ISTA.

"ISTA adalah penanda aras dan akreditasi makmal, sekali gus meningkat­kan kecekapan standard dan akreditasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:19 AM