REMY (kiri) menjaringkan gol kemenangan Chelsea pada pertemuan menentang Hull City.
REMY (kiri) menjaringkan gol kemenangan Chelsea pada pertemuan menentang Hull City.
Reuters

London: Jose Mourinho percaya beliau terhutang budi dengan Loic Remy selepas penyerang yang bermula dari bangku simpanan itu menjaringkan gol kemenangan ketika membantu Chelsea menewaskan Hull City 3-2 semalam sekali gus menyaksikan The Blues selesa dengan kelebihan enam mata meneraju saingan Liga Perdana Inggeris.

Penyerang Perancis itu yang sering diletakkan sebagai pemain gantian selepas berpindah dari Queens Park Rangers (QPR) Ogos tahun lalu dimasukkan pada minit ke-75 di Stadium KC menggantikan Diego Costa yang mengalami kecederaan hamstring.

Pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan gol untuk kembali meletakkan Chelsea di depan selepas mereka mensia-siakan kelebihan dua gol.

“Setiap kali dia beraksi, dia memberikan yang terbaik. Dia berhak menerima pujian.

“Kadangkala jurulatih dapat berasakan mereka terhutang budi dengan pemain dan itulah yang saya rasakan ketika ini.

“Saya gembira dengan prestasinya dan sekali lagi dia memang berhak untuk menerima pujian,” katanya.

Mourinho mungkin boleh berasa selesa dengan kelebihan pasukannya berbanding pencabar utama, Manchester City, namun pengendali dari Portugal itu tidak mahu lari daripada fokus membantu anak buahnya memenangi kejuaraan liga buat kali pertama sejak 2010.

“Pada ketika ini, kami mempunyai kelebihan enam gol dan lebih satu perlawanan.

“Saya yakin kami mampu mencapai sasaran yang ditetapkan. Saya percaya kami mampu melakukannya walaupun saya sedar ia sukar,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 8:33 AM