London: Jose Mourinho berharap tempoh rehat antarabangsa mampu menjadi permulaan perubahan buat Chelsea yang berdepan malapetaka musim ini dengan pengendali itu berharap mahu melihat perubahan positif pemain bintangnya Belgium Eden Hazard (gambar).

Mourinho dan pemainnya berdepan kekalahan di tangan Stoke City pada aksi terakhir sebelum rehat - kekalahan ketiga berturut-turut dalam aksi liga - sekali gus mengakibatkan Chelsea terdampar di tangga ke-16, satu mata di belakang Norwich City yang bakal bertandang ke Stamford Bridge malam ini.

Kekalahan itu meningkatkan tekanan ke atas Mourinho dan rehat dua minggu memberikan peluang kepada beliau untuk menilai kembali persembahan pasukannya.

Masalah yang dihadapi Chelsea adalah jelas - terlalu ramai pemain beraksi di bawah tahap sebenar berbanding musim lalu.

Tetapi ketika beberapa pemain senior mendakwa mereka perlu dipertanggungjawabkan atas situasi dialami Chelsea ketika ini, persembahan mereka tetap tidak berubah.

Mourinho tetap mengatakan persembahan anak buahnya sudah meningkat dan mendakwa mereka cuma tidak bernasib baik untuk menang di Stoke.

Tetapi, apa juga keadaannya, yang penting buat pasukan itu ketika ini adalah keputusan.

Jika mereka mahu mengubah nasib, Mourinho terlebih dulu perlu mencari jalan bagi membolehkan Hazard kembali mempamer aksi seperti dipertontonkan musim lalu.

Setakat ini, Hazard masih belum menjaringkan gol tetapi bekas bintang Chelsea Gianfranco Zola percaya masalah dihadapi pemain itu bakal memberikan faedah jangka panjang kepadanya.

Zola berkata: “Apa yang dialami Hazard hampir sama dengan saya ketika musim kedua di Chelsea.

“Saya mengharungi tahun pertama dengan baik, begitu juga Hazard. Dia beraksi cemerlang, menerima banyak pujian dan sudah tentu tumpuan tetap terarah kepadanya sekali gus membuatkan pergerakannya menjadi semakin sukar.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:24 AM