ANTARA pelakon yang akan membintangi filem Munafik.
ANTARA pelakon yang akan membintangi filem Munafik.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Hampir dua tahun meninggalkan bidang pengarahan, Syamsul Yusof kembali dengan karya terbaru berjudul Munafik yang memulakan penggambaran 12 Mac lalu.

Filem bertemakan seram dan Islamik ini mengambil masa panjang untuk disiapkan dan proses penulisan skrip dibuat sebanyak empat kali bagi memastikan ia menepati apa yang dibayangkan.

Ditemui pada majlis pelancaran Munafik baru-baru ini, yang menampilkan Syamsul sebagai teraju utama, dia menjelaskan, ia dilakukan bagi memastikan jalan cerita filem ini benar-benar mantap.

“Pelbagai faktor menyebabkan Munafik mengambil masa panjang untuk dihasilkan, terutama membabitkan kerja produksi awal. Ceritanya ada dalam fikiran saya sekian lama, tetapi untuk merencanakannya mengambil masa panjang,” katanya.

Selepas menghasilkan Munafik dalam empat draf skrip, Syamsul menyusun kembali dalam satu draf yang mana hanya babak terbaik diambil dari semua draf berkenaan.

Selain Syamsul, Munafik dibintangi Nabila Huda, Sabrina Ali, Fizz Fairuz, Pekin Ibrahim, Datuk Rahim Razali dan A Galak.

Bercerita lanjut mengenai Munafik, dia berasakan genre seram adalah pilihan paling sesuai untuk kemunculan semula selepas bercuti panjang.

“Saya pernah menghasilkan Khurafat sebelum ini dan ia diterima baik. Saya cuba buat filem seram yang menepati citarasa dan mampu menjadi fenomena.

“Sambutan peminat filem Melayu terhadap karya tempatan suram kerana turut dihidang dengan pelbagai saluran hiburan lain, termasuk yang boleh didapati di laman sosial.

“Pada saya, penonton kita semakin bijak dan dalam situasi sekarang pengkarya tidak boleh menyalahkan penonton jika tidak ke panggung. Saya juga tidak mengatakan pembikin filem kita tidak bijak tetapi dalam situasi sekarang kita kena buat filem yang jauh lebih bijak daripada penonton,” katanya.

Dalam menghasilkan Munafik, kata Syamsul, dia mencari elemen yang dianggap luar biasa dan penting untuk pengarah sepertinya mengetahui teori serta formula penting pembikinan karya mengikut genre.

Memandangkan Munafik menyentuh perihal agama, dia perlu lebih peka, terutama apabila membabitkan kepercayaan tahyul.

“Saya kena pastikan jalan cerita filem ini tidak bercanggah dengan hukum agama. Justeru saya merujuk pakar dan ramai ustaz, terutama doa serta ayat yang perlu dibaca dan ditonjolkan dalam Munafik. Perkara itu sangat penting walaupun ia nampak kecil,” katanya.

Jelas pemenang anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 ini lagi, dalam hukum, wujud khilaf mengikut mazhab dan menerusi pembikinan Munafik, dia cuba mengelak perkara itu berlaku.

“Saya tanya ustaz, jika khilaf wujud dalam cerita, apakah jalan terbaik atau penyelesaian yang boleh dibuat. Secara peribadi, filem ini dekat di hati saya kerana dihasilkan dengan jujur,” katanya.

Syamsul melakukan sendiri kajian dengan membaca dan mengkaji tafsiran al-Quran, malah kitab Allah itu adalah sumber ilham paling besar.

Tegasnya, dia bukan mendabik dada mengatakan Munafik adalah karya sempurna namun sebagai pembikin filem, dia berusaha menghasilkan bahan yang lebih baik.

Jelas Syamsul, bergandi­ngan dengan Nabila juga bukan masalah kerana pernah berlakon bersama dalam filem Boh­sia Jangan Pilih Jalan Hitam dan Jalan Kembali.

Munafik mengisahkan Adam, ustaz yang dikurniakan kelebihan mampu mengubat penyakit misteri, berdepan dugaan paling hebat apabila kehilangan isteri dan anak tersayang.

Dia seakan-akan tidak dapat menerima qada dan qadar hingga hilang semangat meneruskan tanggungjawabnya sebagai pengamal perubatan Islam.

Sikapnya bagaimanapun berubah apabila bertemu Maria yang terkena gangguan jin. Keadaan Maria sangat teruk sehingga didiagnos doktor sebagai pesakit mental.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:08 AM