Bukan tidak ada filem Malaysia yang berjaya masuk ke Indonesia. Sejak 1970-an sehingga kini, filem seperti Hapuslah Airmatamu, Isabella, Diva dan Hanyut pernah mencuba nasib di negara itu.
Malangnya tidak ada satu pun boleh dianggap berjaya menarik minat pengedar filem serta penonton Indonesia.
Namun, ketika filem Munafik mencipta fenomena di Malaysia dengan kutipan RM19 juta, ia bagai magnet apabila penerbit dan pengedar filem terbesar Indonesia, MD Pictures menunjukkan minat.
Ia bagaikan kejayaan berganda buat Munafik terbitan Skop Productions Sdn Bhd yang diangkat Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) pada 3 September lalu manakala pengarahnya, Syamsul Yusof menang Pengarah Terbaik.
Produsernya, Datuk Yusof Haslam berkata, Munafik berjaya ditayangkan di Indonesia atas permintaan MD Pictures yang juga produksi serta pengedar terbesar filem di sini.
“Mereka mengakui kejayaan besar filem itu mencatat kutipan tinggi dan kemenangan di FFM28 lalu membuatkan mereka berminat membawa Munafik ke sini.
“Mereka sanggup melabur lebih RM200,000 bagi tujuan A&P (Pengiklanan dan Promosi). Apatah lagi ini kali pertama mereka mengedar filem selepas lebih 16 tahun,” katanya.
MD Pictures pernah menerbitkan beberapa filem Indonesia yang berjaya antaranya Ayat-Ayat Cinta, Habibie & Ainun, Rudy Habibie dan Di Bawah Lindungan Kaabah.
Syamsul turut terkejut dengan sokongan dan sambutan filem kesembilan arahannya.
Katanya, ketika Munafik ditayangkan di Malaysia ada peminat dari Indonesia memberi komen positif dan bertanya bila mahu menayangkan filem itu ke negara mereka.
“Umum tahu filem seram Indonesia lebih banyak dihasilkan dan saya tidak terfikir ia mampu menarik perhatian masyarakat Indonesia kerana lambakan filem genre itu.
“Sokongan dan maklum balas positif diterima termasuk daripada pembikin filem Indonesia sendiri, Hanung Bramantyo membuatkan saya terbuka untuk mencuba,” katanya.
Syamsul berharap Munafik menjadi batu loncatan untuk filem Malaysia lain masuk ke pasaran Indonesia. Waktu sama, Syamsul tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan pengkarya filem Indonesia bagi projek akan datang.
Antara yang berada dalam fikirannya adalah menghasilkan sekuel filem Munafik dan turut menampilkan pelakon hebat popular dari sana.
“Namun, banyak hal yang perlu diperincikan dari segi pasaran, harga pelakon dan plot bersesuaian. Proses penulisan skrip filem sekuel sudah bermula cuma ia bukan hal mudah untuk menulis skrip filem seram.
“Apa pun, sekuel Munafik mungkin memulakan penggambarannya awal tahun depan,” katanya.
Dalam pada itu, Nabila Huda yang turut menang di FFM28 untuk Pelakon Wanita Terbaik, akui gembira dan terkejut dengan maklum balas diterima daripada penonton malam itu dan melihat ia peluang untuk menunjukkan bakatnya di luar Malaysia.
“Di Malaysia orang sudah tahu bakat lakonan saya kecuali di negara luar. Mungkin Munafik pentas untuk saya meluaskan bakat ke Indonesia.
“Saya sudah lama teringin mahu melebarkan sayap di sini. Ada satu saluran khas telefilem di sini yang berjaya menarik perhatian saya. Jika ada peluang saya mahu mencubanya,” katanya.
Selama ini Nabila hanya mampu menanti kerana sedar peluang untuk pelakon bukan Pan Asia sepertinya beraksi di negara itu tipis.
Dia berharap kehadiran Munafik di Indonesia membuatkan produser mereka terpanggil untuk melamarnya berlakon.
“Harapan saya agar Munafik diterima sepenuhnya di sini. Dulu papa (Amy Search) ada filem di sini (Isabella) dan kini giliran saya pula.
“Harapan saya tidak terlalu tinggi sebab percaya segalanya terletak pada rezeki. Selagi saya jujur melakukan tugas dan gembira dengan apa yang saya lakukan, saya okey,” katanya.
Selebriti Indonesia beri sokongan
Pada malam tayangan perdana filem itu di Jakarta, Selasa lalu, rata-rata lebih 300 penonton termasuk selebriti Indonesia hadir memberi sokongan.
Selebriti Metro Ahad yang turut mengikuti rombongan Skop Production dari 27 hingga 29 September, berpeluang bertemu beberapa pelakon Indonesia untuk berkongsi pandangan mereka.
Pelakon Randy Pangalila berkata, itu kali pertama dia menonton filem Malaysia walaupun dia antara selebriti popular Indonesia yang membina nama di Malaysia.
“Saya skeptikal dengan jalan cerita sebab berasakan sudah banyak filem seram seperti ini. Tapi sebaik saja mengikuti jalan ceritanya, saya mulai teruja. Terutama pada permainan karakter serta ‘twist’ pada plot cerita,” katanya.
Randy percaya filem Munafik mampu mencipta sejarah di negaranya kerana kebanyakan penonton pada malam itu memberi reaksi positif.
Hal sama dikongsi pelakon jelita Anggika Bolsterli yang mengakui bukan peminat filem seram tetapi tatkala menonton filem Munafik, dia dapat rasai emosi takut, seram dan sedih kerana jalan ceritanya.
Katanya, dia terkejut dengan nilai moral yang ditonjolkan dan berpendapat tidak banyak filem seram yang menjadikan elemen keagamaan sebagai tunjang jalan cerita.
“Saya tak sangka ia meninggalkan kesan yang mendalam. Saya yakin Munafik mampu memberi impak besar kepada penonton di sini.
“Jika ada peluang, saya ingin bekerja di bawah arahan Syamsul pada masa hadapan,” katanya turut mengagumi bakat lakonan Nabila Huda dalam filem itu.
Turut kelihatan, pelakon Nikita Mirzani, Vitta Marianna dan barisan pelakon sinetron popular tempatan. Munafik bakal menjengah 30 pawagam seluruh Indonesia bermula 5 Oktober ini.