PEMAIN JDT Mahalli Jasuli (kiri) cuba mengelecek pemain PDRM Mohd Fekry Tajudin pada perlawanan Liga Super, Sabtu lalu.
PEMAIN JDT Mahalli Jasuli (kiri) cuba mengelecek pemain PDRM Mohd Fekry Tajudin pada perlawanan Liga Super, Sabtu lalu.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Aksi persahabatan antara Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dengan kelab Bundesliga Borussia Dortmund (BVB) di Stadium Larkin malam esok bakal memberi pendedahan terbaik buat pemain Harimau Selatan itu.

Malah, penyerang Johor DT Safee Sali (gambar) menyifatkan kehadiran pasukan dari Jerman itu pasti memberi impak positif kepada pemain selain mengeratkan lagi kerjasama antara Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan kelab ternama dunia itu.

Katanya, buat pertama kali Borussia Dortmund yang kini dikendali ketua jurulatih Thomas Tuchel yang mengambil alih tugas Jurgen Klopp akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Johor DT dan ia adalah penghormatan tertinggi untuk Harimau Selatan yang dibimbing Mario Gomez.

“Semuanya hasil kesungguhan Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahukan pembaharuan dalam bola sepak di Johor malah saya lihat kerjasama dengan BVB bakal memberi pulangan terbaik buat Johor DT.

“BVB terkenal bukan saja dalam saingan Bundesliga malah pasukan itu begitu mengutamakan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dan saya yakin langkah PBNJ mengadakan kerjasama dengan kelab itu mampu meningkatkan lagi mutu bola sepak di peringkat remaja.

“Kunjungan BVB ke Johor Bahru dilihat cukup simbolik sebagai tanda kerjasama kedua-dua pihak dan saya akui amat teruja kerana akan beraksi menentang kelab yang memiliki pemain berprofil tinggi,” katanya.

Safee juga menganggap pemain seperti Shinji Kagawa, Marco Reus dan Pierre-Emerick Aubameyang bakal memberi kesan positif buat skuad Johor DT untuk mempelajari teknik dan skil permainan.

Beliau menambah pengalaman bersama skuad kebangsaan ketika menentang Arsenal, Liverpool, Barcelona dan Chelsea yang pernah mengadakan aksi persahabatan akan digunakan sepe
nuhnya untuk cuba memberi tentangan kepada BVB.

“Bukan mudah untuk mengimbangi BVB yang memiliki reputasi tinggi apatah lagi pasukan itu muncul juara Bundesliga 2012 tetapi kita akan cuba untuk beri saingan dan mempamerkan aksi terbaik.

“Saya optimis, Gomez akan memberi peluang kepada semua pemain beraksi pada perlawanan itu dan ia pasti pengalaman yang tidak dapat dilupakan bukan saja kepada kami sebagai pemain tetapi juga kepada penyokong,” kata Safee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 9:07 AM