COOK mempertontonkan peranti baru Apple.
COOK mempertontonkan peranti baru Apple.
Oleh Afiq Hanif

Apple mengumumkan laptop Macbook dan jam pintar terbarunya pada acara Apple Spring Forward yang berlangsung di San Francisco, Amerika Syarikat awal pagi semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Cook ketika pengumuman terbabit memaklumkan Macbook Retina 12 inci serta jam tangan yang sedia lama dinantikan kemunculannya, Apple Watch bakal diperoleh dalam tempoh sebulan.

“Data penjualan Macbook berbanding laptop seluruh dunia meningkat meskipun trend jualan laptop seluruh dunia mula menurun kesan tablet dan telefon pintar yang kian popular,” katanya.

Sebelum ini, Apple memperkenalkan Macbook Air 11 inci dan 13 inci, laptop nipis dan ringan.

“Kami mereka semula rekaan Macbook 12 Retina, dengan papan induk yang tidak memerlukan kipas untuk penyejukan memberikannya lebih ruang untuk memuatkan bateri.

“Ia membantu Macbook 12 Retina mencapai kenipisan hanya 13.1mm dan berat hanya kurang 1 kilogram,” kata Cook.

IT@Metro mendapati Apple Store Malaysia kini memperlihatkan harga dan spesifikasi Macbook 12 Retina bagi spesifikasi CPU Intel Core-M 1.1Ghz, RAM 8GB dan memori SSD 256GB yang dijual pada harga RM4,499.

Manakala naik taraf CPU kepada 1.2GHz serta SSD 512GB bersama RAM 8GB pula berharga RM5,499.

Menariknya, ia kini ditawarkan melalui tiga warna iaitu perak, emas dan kelabu.

Selain itu, Cook turut mengumumkan penurunan peranti media, Apple TV kepada hanya AS$69.

Bagi penduduk Malaysia, mereka boleh mendapatkan Apple TV terus dari stor Apple dengan harga baru, RM279 berbanding RM349 sebelum ini.

Cook turut mengumumkan secara rasmi gajet yang dinanti ramai, Apple Watch yang mempunyai reka bentuk butang berputar ‘Digital Crown’, pengesan denyutan nadi, pengecas magnetik dan banyak lagi.

Terdapat tiga jenis Apple Watch yang akan dijual kelak dengan saiz badan berbeza iaitu 38mm dan 42mm pada harga bermula RM1,299.

Ia boleh didapati di sembilan negara pada mulanya iaitu Australia, Kanada, China, Perancis, Jerman, Hong Kong, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat pada April nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 11:44 AM