MACBOOK Pro 16 inci yang menawarkan skrin paparan lebih besar.
MACBOOK Pro 16 inci yang menawarkan skrin paparan lebih besar.
Muhammad Saufi Hassan


APPLE semalam melancarkan laptop terbaru miliknya iaitu MacBook Pro 16 inci yang menawarkan skrin paparan lebih besar serta pilihan storan sehingga 8TB untuk kemudahan pengguna.

MacBook Pro berkenaan juga didatangkan dengan papan kekunci baharu iaitu ‘Magic Keyboard’ dan beberapa ciri khusus berkenaan menjadikan laptop berkenaan menawarkan storan terbesar kepada pengguna di pasaran.

Laptop berkenaan sememangnya direka untuk pembangun aplikasi, jurufoto profesional, pembikin filem, saintis, produser muzik dan beberapa profesion lain yang memerlukan jumlah storan besar di samping keupayaan peranti yang baik.

Menyentuh aspek spesifikasi, MacBook Pro 16 inci itu menggunakan skrin paparan teknologi Retina dengan pemproses Intel Core i7 generasi kesembilan yang direka bersama enam teras.

Bagi pengguna yang mahukan lebih kuasa bagi MacBook Pro mereka boleh memilih variasi dengan pemproses Intel Core i9 generasi kesembilan yang dilengkapi dengan lapan teras.

Keupayaan memori (RAM) yang ditawarkan adalah sehingga 64GB serta dipadankan bersama storan jenis SSD sehingga 8TB untuk kemudahan pengguna.

Unit pemproses grafik (GPU) pula, MacBook Pro menggunakan teknologi keluaran Advanced Micro Devices (AMD) iaitu Radeon Pro 5000M yang didatangkan bersama kapasiti memori video (VRAM) 8GB.

Apple tidak pernah mengabaikan aspek keselamatan peranti dan kali ini butang kuasa dilengkapi dengan pengimbas biometrik cap jari ‘Touch ID’ dan butang ‘ESC’ kini dipisahkan dari bar sesentuh (Touch Bar).

MacBook Pro juga menggunakan bateri sebesar 100Wh yang memberikan tempoh kepenggunaan sehingga 11 jam sesuai untuk mereka yang mahu menyelesaikan tugasan tanpa memikirkan bekalan kuasa bateri.

Bagi pasaran tempatan, MacBook Pro 16 ditawarkan pada harga bermula RM10,499 bagi model pemproses 2.6GHz Intel Core i7 yang turut dilengkapi dengan 16GB RAM DDR4 serta 512GB SSD.

MacBook Pro bagi variasi pemproses Intel Core i9 pula ditawarkan pada harga RM12,199 dengan keupayaan pemproses 2.3GHz bersama 16GB RAM DDR4 dan storan 1TB SSD.

Spesifikasi

Pemproses : Intel Core i7 / Intel Core i9

RAM : 16GB DDR4

Storan : 512GB SSD / 1TB SSD

Paparan : 16 inci paparan Retina

Harga : RM10,499 / RM12,199

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 12:30 PM