Apple membuka jualan laptop terbarunya, Macbook 12 Retina di Malaysia dengan pilihan dua model berharga sekurang-kurangnya RM4,769.

Model pertama menggunakan CPU Intel Core M 1.1GHz dengan kemampuan pecutan turbo sehingga 2.4GHz, RAM 8GB dan setoran SSD 256GB.

Manakala model kedua pula dilengkapi CPU Intel Core-M 1.2GHz dengan kemampuan pecutan turbo sehingga 2.6GHz, RAM 8GB dan setoran SSD 512GB pada harga RM5,829.

Terdapat tiga warna pilihan untuk Macbook 12 Retina ini iaitu perak, emas dan kelabu sama seperti yang ditawarkan untuk telefon pintar Apple iPhone 6.

Untuk pembelian Macbook 12 Retina di Stor Apple secara ‘online’, pengguna perlu menunggu tempoh penghantaran empat hingga enam minggu.

Macbook 12 Retina baru ini memperlihatkan rekaan papan induk yang tidak memerlukan kipas untuk penyejukan memberikannya lebih ruang untuk memuatkan bateri sehingga membantunya mencapai tahap kenipisan hanya 13.1mm dan berat kurang 1kg.

Apple turut melengkapkan Macbook 12 Retina dengan papan kekunci dan pad pengesan baru yang sensor tekanannya ditambah bagi tujuan kerja perkomputeran seperti klik dan memberi getaran sebagai respons kepada tekanan yang diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 11:34 AM