COOK memperkenal Apple MacBook baru. FOTO AP
COOK memperkenal Apple MacBook baru. FOTO AP

San Francisco (Amerika Syarikat): Apple memperkenalkan tiga versi bagi jam tangan pintar Apple Watch yang boleh didapati di sembilan negara bermula 24 April ini selain notebook MacBook paling nipis dan ringannya di sini, awal pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook berkata, jam pintar baru ini adalah peranti paling 'peribadi' direka Apple dan boleh memaparkan pelbagai muka jam termasuk animasi Mickey Mouse.

Apple Watch boleh memaparkan mesej dan gambar serta membuat panggilan menggunakan mikrofon dan speaker terbina dalam.

Ia juga boleh diguna dengan beberapa aplikasi kesihatan selain sistem pembayaran Apple Pay.

Cook berkata, bateri Apple Watch dijangka dapat bertahan selama 18 jam sehari.

Terdapat tiga versi Apple Watch iaitu Apple Watch Sport, Apple Watch dan Apple Watch Edition.

Harga bermula pada AS$349 (RM1,285) bagi Apple Watch Sport bersaiz 38 milimeter manakala Watch Standard bermula pada AS$549 (RM2,021) dan 'Edition' mewah pada harga AS$10,000 (RM36,809), kata Cook.

Ia boleh didapati di sembilan negara pada mulanya iaitu Australia, Kanada, China, Perancis, Jerman, Hong Kong, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat pada April nanti.

Selain itu, Apple juga memperkenalkan notebook MacBook paling nipis dan ringan yang boleh didapati dalam warna perak, kelabu dan emas.

Dengan berat kira-kira 900 gram, model baru ini juga 24 peratus lebih nipis daripada MacBook Air yang diperkenalkan sebelum ini.

Kekunci pada papan kekunci juga lebih besar dan diterangi dari belakang dengan LED serta mempunyai paparan Retina 12-inci.

Sementara itu, trackpad Force Touch membolehkan kawalan berdasarkan daya sentuhan.

MacBook ini juga adalah yang pertama dibina tanpa kipas sekaligus boleh beroperasi dengan lebih senyap.

MacBook baru ini juga menggunakan satu port teknologi baru, USB-C untuk mengecas bateri, hubung kepada skrin serta aksesori lain.

Harga MacBook bermulada pada AS$1,299 (RM4,781).

Papan kekunci ini juga lebih responsif dan skrin MacBook menggunakan 30 peratus kurang kuasa.

Selain itu, Cook mengumumkan penurunan harga sebanyak AS$30 bagi Apple TV kepada AS$69 (RM254). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 3:33 AM