CERIA peserta berjaya menamatkan larian bersama pingat masing-masing.
CERIA peserta berjaya menamatkan larian bersama pingat masing-masing.
JARING lelabah menjadi tempat peserta berpaut.
JARING lelabah menjadi tempat peserta berpaut.

>Byline

>Email

Sudahlah perlu melakukan larian merentas 16 kilometer, kemudian terpaksa pula me–nempuh lebih 10 halangan di satu kilometer terakhir.

Tidak cukup dengan itu, kurang 500 meter dari garisan penamat, setiap peserta Cabaran Commando Elite di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Sri Kembangan terpaksa melompat dan berpaut pada jaring di stesen ‘hang jump’.

Gagal menyambar jaring, bermakna mereka terpaksa menyusuri trek seterusnya dengan baju lencun untuk menamatkan cabaran larian berhalang yang dimulakan jam 7 pagi, Ahad lalu.

Begitulah penangan Cabaran Comando Elite Challenges yang julung kali diadakan dan berkonsepkan latihan larian lasak ala tentera oleh NM Galaxy Sdn Bhd disertai 800 peserta sepanjang dua hari berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Mohd Muazan Mohd Mohsin, berkata penganjuran acara itu berdasarkan latihan lasak anggota keselamatan negara. Namun berbanding latihan dijalani anggota tentera, aktiviti itu disesuaikan dengan kemampuan peminat sukan riadah dan tidak ‘rigid’.

“Tidak dinafikan dengar saja nama acara ini, ramai membayangkan mereka merentas hutan sambil merangkak bawah kawat duri. Sebenarnya itulah bayangan yang kami harapkan apabila setiap orang mendengar nama cabaran ini.

“Tujuan bukan untuk menakut­kan mereka, sebaliknya merangsang perasaan teruja untuk mencuba aktiviti larian berhalangan. Itulah kami tawarkan buat mereka yang meminati acara larian lasak seperti ini,” katanya.

Merujuk kepada setiap cabaran disediakan, Muazan berkata, latihan disediakan lebih kepada rekreasi kerana ada aktiviti lain yang menyerikan setiap stesen cabaran.

“Kami tidak berdasarkan sepenuhnya modul latihan perajurit. Kami mengisi slot dengan elemen interaktif seperti aktiviti memanah dan paling diingati peserta, ‘hang jump’ memaksa mereka menggunakan kekuatan atas badan untuk tidak jatuh ke dalam kolam air,” katanya yang merancang mengadakan acara berkenaan pada skala terbesar pada pertengahan tahun ini.

Buat peserta pertama sampai ke garisan penamat, Mohd Amri Adam, motivasi acara berkenaan lebih kepada dorongan oleh minat mendalamnya terhadap sukan larian.

“Cabaran itu tidak menyediakan ganjaran, sebaliknya memberi pengalaman kepada saya selaku peminat sukan untuk mencabar kemampuan diri. Bukan tempat mahupun posisi yang dikejar, sebaliknya kepuasan melepasi semua halangan.

“Boleh dikatakan setiap hala–ngan disediakan dengan baik hing­galah mendekati garis penamat. Berharap bagi acara akan datang, pihak penganjur menyediakan halangan lain pula untuk kami merasai pengalaman berbeza,” katanya.

Rakannya, Mohd Azuan Awang Long menamatkan saingan dalam cabaran terbabit di tempat ketiga, membolehkan mereka mengetepikan lebih 390 peserta lain dalam larian hari kedua.

“Saingan boleh dikatakan ‘kurang menyengat’ berbanding kejohanan larian jarak jauh lain. Acara ini bukan pertandingan, sebalik–nya larian santai buat penggemar sukan lari jarak jauh. Ditambah pula semua peserta sedar halangan menunggu di penghujung perjalanan, mereka kekal dengan rentak larian santai.

“Mungkin mereka mahu menyimpan baki tenaga untuk halangan terbabit. Buat saya dan rakan yang ada latar belakang anggota keselamatan, kami mempunyai asas latihan ekstrem, jadi boleh dikatakan cabaran ini menjadi rutin kami,” katanya.

Peserta wanita terawal berjaya menamatkan cabaran, Kathleen Cheong Chor Kuan, 32, teruja menceritakan pengalaman melalui setiap halangan terbabit.

“Ia menyeronokkan dan saya meminati sukan lari berhala–ngan. Antara cabaran saya boleh katakan sukar ialah ‘hang jump’. Saya terlepas jaring dan jatuh ke dalam air. Ia langsung tidak menyakitkan.

“Sukan larian berhalang wajar disertai lebih ramai kalangan pelari muda. Meskipun sejumlah wang perlu dibayar, ia berbaloi dengan pengalaman sepanjang menyusuri trek. Di samping itu, ia mendorong kita menguji kemampuan selain hanya berlari.

“Malah, saya berharap lebih ramai penyertaan kalangan pelari wanita dalam aktiviti berhalangan. Setiap kali berjaya menempuh setiap rintangan, satu kepuasan dirasai dan ia menjadi terapi mengurangkan tekanan kerja,” katanya.

Suaminya, Prakash Blauvalinggam, 33, berkata, berbanding isterinya yang teruja menamatkan larian, dia lebih senang menikmati suasana sepanjang trek.

“Isteri saya bersemangat mahu menamatkan larian dan saya lebih selesa berada di belakangnya. Saya mahu menikmati setiap cabaran dan pemandangan sekitar trek. Persiapan setiap rintangan menarik, namun diharap pada penganjuran akan datang mereka meningkatkan kualiti setiap halangan.

“Saya dan isteri sebenarnya peminat larian berhalang dan ia sesuatu yang baik untuk disertai keluarga. Larian ini tidak bosan, sebaliknya ranjau dilalui peserta membuatkan pengalaman ini bertambah mengujakan.

“Saya berharap untuk menyertai larian Spartan Race di Amerika Syarikat, yang juga larian berhalangan terbesar di dunia, Oktober depan. Jadi saya dan isteri perlu lebih membuat persiapan termasuk menyertai cabaran seperti ini menjelang perlumbaan terbabit,” katanya.

INFO

Commando Elite Challenge 2015

• 24-25 Januari 2015

• MAEPS Sri Kembangan Selangor

• 800 peserta

• Larian 16 kilometer merentas hutan dan dua kilometer untuk lebih 10 halangan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:02 AM