GELAGAT peserta melepasi cabaran bergayut pada tayar.
GELAGAT peserta melepasi cabaran bergayut pada tayar.
PELARI menggelungsur  akibat gagal melepasi halangan Tsunami.
PELARI menggelungsur akibat gagal melepasi halangan Tsunami.
JEJARING lelabah perlu dilalui peserta.
JEJARING lelabah perlu dilalui peserta.
GELAGAT peserta melepasi cabaran bergayut pada tayar.
GELAGAT peserta melepasi cabaran bergayut pada tayar.
GIGIH melepasi laluan berselut ‘Escape to Victory’
GIGIH melepasi laluan berselut ‘Escape to Victory’
Oleh Nurul Husna Mahmud


Manusia menentang alam semula jadi. Ayat sesuai menggambarkan keadaan peserta yang menyertai acara larian ekstrem T-Warrior Trail yang berlangsung di Semenyih Ecoventure Resort baru-baru ini.

Bayangkan trek lebih 10 kilometer perlu ditempuh bukan jalan mendatar, sebaliknya laluan berliku direka khas pengasasnya, Nick James.

Tambah menggetirkan untuk menamatkan cabaran itu, terdapat halangan semula jadi seperti sungai, trek licin serta jalan berbukit yang perlu dilalui peserta.

Pastinya stamina peserta perlu dikerah untuk melepasi lebih 25 cabaran. Kira-kira lebih 2,000 pencinta aktiviti ekstrem seluruh negara menyertai cabaran itu.

Namun bagi pelari tegar seperti peserta dari Petaling Jaya, Raimy Saden, berbanding penat dia lebih teruja menempuh halangan disediakan penganjur. Biarpun tidak ditemani kenalan, dia amat bersemangat untuk melepasi setiap halangan.

“Saya sering mengikuti acara larian setiap kali hujung minggu. Seperti sudah kemaruk dengan aktiviti ini, saya akan mencari sebarang acara untuk disertai menerusi platform laman sosial.

“Kebelakangan ini seperti sukan ekstrem lain, larian berhalangan menjadi acara paling ‘trendy’. Justeru apabila T-Warrior membuka pendaftaran, saya tidak ragu-ragu mendaftar diri kerana mahu merasai trek serta halangan baru.

“Tambah pula T-Warrior menganjurkan acara larian ini julung kali di Malaysia pastinya ia mengujakan. Ideanya segar dan halangan bagi setiap trek saya rasa berbeza dengan acara larian berhalangan pernah saya sertai seperti Spartan Race mahupun Viper Race,” katanya.

Menyentuh halangan paling mendebarkan kata Raimy, biarpun penat kemuncak larian itu ialah di seksyen Tsunami. Halangan berupa lengkungan pada ketinggian lebih lima meter menanti pelari memanjatnya.

“Semua liku trek memang menarik. Tetapi kalau cakap pasal antara banyak pilihan saya ialah halangan Tsunami. Lengkungan berbentuk ombak pada ketinggian 13 kaki perlu dipanjat dengan sisa tenaga ada memang mencabar.

“Saya kerah saki baki tenaga yang tinggal dan berhasil melepasi dengan sekali percubaan. Ramai pelari terkandas kerana mereka sudah penat apabila sampai di halangan berkenaan.

“Ia bukan sekadar memerlukan sedikit pecutan malah kekuatan bahagian atas tubuh membantu diri memanjat ke pelantar atas puncak tembok melengkung berkenaan,” katanya antara tiga peserta terawal berjaya menamatkan saingan berkenaan.

Bagi pelari dari Kuala Lumpur, Ganesan Chandrasegar, 31, dia berpuas hati dengan cabaran disediakan penganjur.

“Pada perkiraan saya trek T-Warrior baik kerana ia kombinasi buatan manusia bersama alam membuatkan ianya menarik.

“Meskipun saya pernah menyertai lima acara seumpamanya sebelum ini tetapi perasaan menyertai acara ini masih mengujakan,” katanya.

Tambah Ganesan lagi, biarpun keseluruhan pengalaman menyertai acara ini menyeronokkan, namun terdapat beberapa aspek perlu diperbaiki pihak penganjur.

“Meskipun terdapat trek, namun peserta keliru dengan laluan mereka perlu lalui. Tambah pula sesetengah stesen tiada marshal ditempatkan jadi peserta tidak pasti laluan mereka perlu tempuh.

“Panduan seperti anak panah terlalu kecil, jadi saya rasa aspek itu perlu diperkemaskan dalam acara besar seperti ini.

“Ini mengelak berlakunya pertikaian mengenai keputusan dicapai pemenang kerana ia membabitkan hadiah. Jarang acara seperti ini menawarkan imbalan,” katanya.

Selain peserta lelaki, kemunculan peserta wanita dalam acara ini tidak menghampakan. Malah boleh dikatakan, mereka memberi setara apabila mampu melepasi hampir semua halangan T-Warrior.

Peserta dari Amerika Syarikat, Erin Hendry cukup teruja mencuba trek berhalangan disediakan penganjur di Semenyih Ecoventure Resort.

“Satu acara menarik apabila selain dapat melakukan aktiviti kesukaan iaitu berlari, turut dapat mencuba tarikan baru iaitu pelbagai halangan seperti ‘Big Step’ mahupun ‘Escape to Victory’ memerlukan saya bergelut dengan lumpur.

“Malah satu pemandangan tidak menjemukan apabila turut dapat menikmati pemandangan semula jadi sepanjang trek.

“Meskipun dapat melepasi semua halangan, namun ada sebahagian tidak berjaya kerana ia membabitkan kekuatan selain figura seperti ketinggian. Jadi untuk wanita tentunya ia mencabar,” katanya berkhidmat sebagai guru di sekolah antarabangsa di ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 5:02 AM