PESERTA cuba melepasi halangan yang mengejutkan mereka dengan ‘gigitan’ kuasa elektrik.
PESERTA cuba melepasi halangan yang mengejutkan mereka dengan ‘gigitan’ kuasa elektrik.
PESERTA perlu belari sejauh 10km dalam Viper Challenge King of the Mountain.
PESERTA perlu belari sejauh 10km dalam Viper Challenge King of the Mountain.
SETIAP halangan menguji ketahanan fizikal dan mental peserta.
SETIAP halangan menguji ketahanan fizikal dan mental peserta.
ELEMEN air dan api menjadi halangan dalam acara larian ini .
ELEMEN air dan api menjadi halangan dalam acara larian ini .

Basyar Mustapha berkesempatan merasai sendiri acara larian yang semakin diminati belia di negara ini, Viper Challenge yang diadakan baru-baru ini.

Stamina dan ketahanan mental lebih 8, 500 individu yang majoritinya terdiri daripada kalangan belia dicabar dalam acara larian berhalangan Viper Chal­lenge King of the Mountain. Diadakan baru-baru ini di Genting Highlands buat pertama kalinya, peserta perlu mengharungi trek larian sejauh 10 kilometer (km) dan 15 jenis halangan berlainan yang berada di sepanjang trek.

Larian bermula di kawasan Genting Skyway kemudian bersambung ke arah Awana Genting dan berakhir di tapak ladang kuda Awana, Goh Tong Jaya. Peserta pelepasan awal pagi mula membanjiri tapak karnival seawal jam 6.30 pagi lagi untuk bersedia memulakan larian.

Pelari dilepaskan pada setiap setengah jam dan sebelum memulakan larian, mereka perlu melepasi lima dinding kayu setinggi lebih tiga meter. Tidak termasuk dalam salah satu daripada 15 halangan dibuat, dinding kayu ini memulakan keseronokan dan menambah semangat kepada peserta sebelum memulakan larian. Di sini kelihatan peserta yang terbabit dalam kumpulan saling membantu antara mereka dan pelari individu memanjat laju menguji ketahanan diri sendiri.

Sejurus dilepaskan, peserta perlu mendaki bukit sejauh dua kilometer sebelum mengharungi halangan pertama iaitu tangga kayu gergasi curam setinggi enam meter.

Halangan demi halangan diharungi peserta. Antara halangan yang sukar bagi kebanyakan peserta adalah dinding dengan pasak besi yang perlu dipanjat menggunakan tangan dan kaki serta halangan terakhir, ‘Monkey Business’ apabila peserta perlu bergayut di besi senggayut atau ‘monkey bar’. Cabaran ini memerlukan peserta memiliki bahagian atas badan dan genggaman tangan yang kuat untuk melepasinya.

Antara cabaran yang mencuit hati apabila melihat gelagat peserta lain mengharungi ‘Short Circuit’ apabila peserta perlu merangkak di bawah wayar elektrik yang mempunyai voltan sangat rendah, namun apabila terkena di badan memberi kesan seperti digigit semut.

Tembok besar, panas terik, tanah lumpur malah api marak dalam halangan disediakan tidak mematahkan semangat pelari. Jelas ia menguji tahap ketahanan diri peserta yang kebanyakannya anak muda. Ia juga menanam sifat setia kawan dan kerjasama antara rakan bagi yang datang secara berkumpulan.

Timbalan Presiden Bahagian Promosi dan Hiburan Resorts World Genting, Kevin Tann berkata kerjasama dengan Viper Challenge ini sempena keraian ulang tahun ke-50 Resorts World Genting dan antara acara yang ditunggu-tunggu ramai peminat sukan lasak dan mereka yang meminanti dunia kecergasan serta kesihatan.

“Tiket untuk acara ini habis terjual dalam masa dua minggu sahaja dan lebih 8,500 peserta dijangkakan hadir mengambil bahagian.

“Acara larian ini istimewa kerana ia satu larian yang bukanlah satu perlumbaan, namun satu cabaran menghabiskan halangan disediakan.

Selesai berlari dan melepasi halangan, peserta malah pelawat boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik diadakan di tapak karnival yang disediakan. Tambah menarik beberapa halangan disediakan penaja di tapak karnival seperti titian kayu Lo Hong Ka yang agak mencabar, namun menyeronokkan untuk dicuba.

Hidangan lazat seperti kambing bakar dan ayam golek selain pelbagai minuman serta pencuci mulut turut dijual memudahkan peserta mengisi perut selepas bertarung sejauh 10km.

Setiap peserta yang berjaya berlari sejauh 10km dan mengharungi semua 15 halangan mendapat pingat dan kemeja-T sebagai tanda kejayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:01 AM