PESERTA perlu memikul kayu log.
PESERTA perlu memikul kayu log.
ANTARA aksi peserta melepasi benteng.
ANTARA aksi peserta melepasi benteng.
CABARAN ‘monkey bar’ bersama halangan air perlu dilepasi peserta.
CABARAN ‘monkey bar’ bersama halangan air perlu dilepasi peserta.
AHMAD Johari (dua kiri) melepaskan peserta.
AHMAD Johari (dua kiri) melepaskan peserta.
Nurul Husna Mahmud


Melihat jersi dikenakan peserta Warriors Challenge 2016 lencun dengan keringat dan muka berkerut menahan penat membawa bebanan 20 kilogram berupa batang log besi menuju garisan penamat itu pemandangan luar daripada kebiasaan buat mereka pernah menyaksikan acara larian.

Tidak ada tanda mahu mengalah, mereka masih mampu mengatur tenang menghabiskan saki-baki larian berakhir di Stadium Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sungai Besi baru-baru ini.

Jelas air wajah masing-masing tidak kesal sebaliknya kepuasan lahir apabila satu persatu mereka dikalungkan pingat penghargaan oleh Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia yang sedia menanti di garisan menamat.

Begitulah tekad 500 peserta Warrior sChallenge 2016 menjadi kemuncak kepada Kempen Tabung Hari Pahlawan menerusi laluan berhalangan hampir 10 kilometer mengelilingi sekitar pusat latihan di Kem Sungai Besi itu dilepaskan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Paling menarik perhatian apabila pelari berkumpulan begitu konsisten memberi sokongan kepada ahli masing-masing untuk meneruskan larian hingga ke penghujung.

Antara yang menonjol ialah pasukan mengenakan jersi serba hitam memaparkan tulisan ‘HUMAN OFFROAD’ begitu selesa menghabiskan setiap cabaran bermula pantas di perlumbaan halangan dan kekal bertenaga ke garisan penamat.

Bagi wakil pasukan Komander 69 Ahmad Munir Mohamad, pihaknya terpanggil untuk menyertai larian ini tanda sokongan kepada rakan seperjuangan yang banyak berkorban di perbatasan memastikan keharmonian negara.

“Seawal dengar nama larian ini sudah memadai membuatkan kami untuk turut serta sebagai menzahirkan sokongan kepada anggota tentera. Malah konsep mesra militari apabila tampil motif celoreng sedikit sebanyak mendekati kami dengan anggota tentera.

“Mengenai cabaran dalam trek larian, kami sudah melakukan persiapan rapi walaupun tiga daripada ahli berada di Kelantan, kami sentiasa mengemas perkembangan terkini mengenai latihan dari masa ke semasa.

“Untuk acara berhalangan ini, stamina masih menjadi keutamaan dengan latihan fokus kepada kekuatan bahagian bawah dan atas tubuh berdasarkan pengalaman kami sering menyertai larian lasak seperti Viper Challenge dan Spartan Race sebelum ini,” katanya.

Mengenai cabaran disediakan penganjur, pihaknya menyifatkan kesukaran pada acara ini lebih kepada rutin larian yang mana memerlukan mereka mengekalkan momentum stamina baik.

“Bagi kami penggiat sukan lasak tegar, halangan diberi pada kami biasa kerana pernah menjalani rutin lebih rumit. Namun, tidak boleh diperkecilkan segi cabaran lariannya apabila laluan disediakan banyak berbukit,” katanya berharap dapat menyertai acara sama pada tahun akan datang.

Bagi pelari wanita Nurfathin Zahrolayali, 21, pula berbeza pandangannya. Katanya meskipun aktif berlari, cabaran disediakan penganjur ini baru kali pertama dia mencubanya.

“Sebenarnya saya baru mendaftar untuk menyertai larian berkenaan seminggu sebelum larian itu dianjurkan. Saya mendapat tajaan Persatuan Veteran ATM dan menyifatkan halangan disediakan cukup mencabar.

“Paling tidak boleh lupa ialah halangan terakhir yang mana pelari perlu membawa bebanan pada jarak 2.4 kilometer. Saya perlu mengusung 20 kilogram peluru ke stesen akhir.

“Jadi saranan saya buat pelari baru, mereka perlu membuat persiapan untuk membiasakan diri selain mengurangkan risiko kecederaan. Meskipun acara ini lasak tidak pula bermaksud ia sesuatu mustahil dilakukan oleh wanita,” katanya.

Sebelum acara berlangsung Fathin memperuntukkan sejam melakukan latihan larian ‘trail’ bagi persediaan meningkatkan stamina.

Manakala wakil Affin Bank Ahmad Syahir Nordin berkata apabila dimaklumkan syarikat menaja 20 kakitangan untuk menyertai Warrior Challenge 2016, dia tidak melepaskan peluang itu.

“Dalam 50 orang memberi nama, tidak sangka saya antara 20 terpilih mewakili pasukan Affin Bank dalam larian itu. Saya berminat dengan acara sukan lasak berasa pendedahan dalam acara ini membantu meningkatkan skil baik segi endurance mahupun stamina.

“Keseluruhan cabaran saya berpuas hati kerana selain trek, acara ini menemukan saya dengan kawan baru yang mempunyai minat sama dalam sukan lasak. Di sini kita berkongsi maklumat dan tip,” katanya.

Tambah Syahir lebih bermakna larian ini menyatakan sokongan kepada anggota keselamatan yang selama ini banyak berkorban atas nama keamanan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Terutama apabila menyedari arwah datuk saya sendiri, Idris Haji Sulaiman, juga pernah bergelar tentera darat dan berkhidmat sekitar 1960-an.

“Rasa hormat saya cukup tinggi kepada anggota keselamatan khususnya tentera yang menjaga keamanan negara. Ini tanda sokongan saya orang awam kepada anggota yang masih berkhidmat mahupun sudah bersara,” katanya.

Manakala Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum menerusi ucapan perasmiannya menyifatkan larian menyertakan orang awam ini memberi peluang mereka memahami sebahagian pahit maung anggota sentiasa sinonim dengan latihan lasak.

“Dasarnya larian ini dapat meningkatkan kesedaran mengenai perjuangan dan pengorbanan pahlawan negara terutama dalam kalangan Gen Y. Ini penting untuk mengingatkan mereka betapa peritnya halangan dilalui, cabaran mengimbas perjuangan serta kesukaran perajurit melalui latihan apatah lagi ketika berdepan pengganas. Justeru ia meningkatkan semangat dan sifat patriotisme kalangan mereka,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Senator Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata pihaknya menyasarkan kutipan berjumlah RM5 juta bagi mengisi Tabung Pahlawan.

“Ketika ini angka kami sasarkan sejak kempen bermula Julai lalu dan bakal berakhir 31 Disember ini hampir ke jumlah disasarkan dan sekarang ini nilai terkumpul sudah melangkaui RM3 juta.

“Kita berharap kempen ini akan terus meraih perhatian masyarakat serta syarikat korporat membantu kita mencapai objektif yang mana dana ini membantu pesara mahupun kebajikan parajurit seisi keluarga.

“Bagi acara larian Warriors Challenge 2016, kami gembira menerima sumbangan RM50,000 terkumpul hasil kutipan perseorangan dan syarikat korporat. Kita menjangkakan acara ini diadakan pada skala besar tahun depan dan bercadang melihat kolaborasi bersama Kementerian Belia dan Sukan sebagai rakan strategik dalam larian ini,” katanya.

Bagi mereka mahu terus menyumbang boleh berbuat demikian menerusi Kempen Tabung Pahlawan 2016 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (CIMB BANK 8602 700 401/MAYBANK 5647 1752 1826).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:02 AM