Liverpool: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers berazam membawa pulang trofi ke Anfield ketika beliau bersiap sedia meraikan perlawanan ke-100 Liga Perdana sebagai pengurus kelab itu dengan pertembungan jiran setempat menentang Everton di laman lawan, awal pagi esok.

Rodgers hampir menamatkan penantian 24 tahun muncul juara Inggeris buat kali ke-19, tapi berakhir sebagai naib juara kepada Manchester City dalam Liga Perdana musim lalu.

Kejuaraan dilihat jauh daripada jangkauan Liverpool musim ini ketika mereka kini menghuni tangga ketujuh carta, 15 mata di belakang pendahulu Chelsea. Namun mereka layak ke pusingan kelima Piala FA dan mara ke peringkat kalah mati Liga Europa.

Kini Rodgers, 42, mahukan trofi bagi membuktikan peningkatan sejak mengambil alih daripada Kenny Dalglish sebagai pengurus pada Jun 2012.

“Untuk mengikut jejak langkah terlalu ramai pengurus menakjubkan yang berada di sini sebelum saya satu penghormatan besar,” kata Rodgers.

“Saya sukakan kehidupan di sini dan hanya berharap mampu mengemudi kejayaan kelab dengan memenangi trofi.

“Bila saya melangkah kaki dari sini, saya harap akan meninggalkan sesuatu yang boleh dibanggakan. Tapi dua setengah tahun pertama di sini satu pengalaman mengagumkan,” jelas pengendali dari Ireland Utara itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:04 AM