Liverpool: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers (gambar) mengakui beliau kini berada dalam tekanan selepas beberapa aksi hambar pasukannya menjelang pertembungan dengan Norwich di Anfield hari ini.

Rodgers cuba bersikap tenang namun tekanan terus menghimpitnya seandai pasukannya gagal menewaskan Canaries.

Kekalahan berturut-turut kepada West Ham dan Manchester United sedikit memberi kesan kepada kedudukan pengurus itu.

Rodgers pasti mengharapkan masalah kecederaan yang dihadapinya akan selesai apabila Jordan Henderson, Daniel Sturridge dan Joe Allen masing-masing kini semakin pulih.

Kapten Henderson kembali berlatih selepas mendapatkan rawatan di Amerika Syarikat mengenai kecederaan tumit kaki yang menyebabkannya tidak beraksi ketika Liverpool tidak menang dalam tiga perlawanan liga.

Penyerang Sturridge kembali cergas selepas pembedahan pinggul manakala Allen pulih daripada kecederaan hamstring yang dialami ketika menentang Swindon dalam aksi pra musim Ogos lalu.

“Jordan, Daniel dan Joe adalah pemain penting untuk kami,” kata Rodgers.

“Daniel sudah lama tidak beraksi. Dia pemain yang mampu menghasilkan lebih 25 gol semusim jadi sudah pasti kami terasa kehilangannya.

“Prestasi Jordan semakin meningkat sepanjang saya berada di sini dan Joe juga penting dalam merencana permainan pasukan.”

Ketika ditanya mengenai kedudukannya yang dikatakan terancam, Rodgers berkata:“Ia biasa dalam pengurusan bola sepak. Apa yang penting adalah kekal tenang. Saya selalu fokus dengan apa yang saya boleh kawal.

“Saya tidak boleh kawal apa yang ditulis oleh media. Saya hanya boleh memastikan untuk mendapatkan aksi terbaik daripada peman.”

Liverpool hanya menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawana pertama liga namun ada tanda positif dipamerkan apabila barisan pemain mudanya berjaya mengikat Bordeaux 1-1 pada aksi Liga Europa Khamis lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:07 AM