RODGERS dikaitkan akan menggantikan Solskjaer. FOTO AFP
RODGERS dikaitkan akan menggantikan Solskjaer. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Leicester, Brendan Rodgers menafikan spekulasi mengaitkannya dengan Manchester United ketika tekanan semakin dirasai Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford.

Rodgers dikatakan salah seorang calon untuk menggantikan tempat Solskjaer jika pengendali dari Norway itu dipecat.

United akan berkunjung ke Watford esok dengan Solskjaer terdesak untuk meraih kemenangan selepas anak buahnya tewas ketika bertemu Manchester City sebelum tempoh rehat antarabangsa.

Kekalahan itu selepas dimalukan 0-5 oleh Liverpool di Old Trafford sekali gus menyaksikan Solskjaer bertungkus lumus untuk mempertahankan kedudukannya.

Rodgers yang mengetuai Leicester memenangi Piala FA musim lalu, pada sidang media ditanya sama ada beliau berminat untuk membimbing United menjelang pertemuan dengan Chelsea, esok.

"Ada dua perkara. Pertamanya adalah sangat tidak hormat untuk bertanya soalan apabila pengurus itu masih ada, seorang yang sangat baik dan bekerja keras untuk kelabnya," kata Rodgers.

"Kedua, saya tidak boleh mengulas mengenainya, kerana ia bukan sesuatu yang benar.

"Saya di sini sebagai pengurus Leicester City. Bangga berada di sini dan sedia memberikan komitmen sepenuhnya kepada pemain, kelab dan pemilik kelab ini.

"Itu sahaja, kerana kita tidak boleh mengawal segala khabar angin di sekeliling."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 7:39 AM