ADIBAH kini sibuk di lokasi untuk pelbagai drama dan filem.
ADIBAH kini sibuk di lokasi untuk pelbagai drama dan filem.
Oleh Ramlah Zainal

Watak Murni lakonannya dalam filem genre seram Nasi Tangas arahan Hashim Rejab meninggalkan impak tersendiri pada penonton.

Malah, ramai pengarah drama dan filem mula membuka mata dengan bakat lakonan yang dimiliki pelakon, Adibah Yunus di persada hiburan tanah air. Dalam filem itu, Adibah bergandingan dengan Azwan Kombos selaku teraju utamanya.

Secara peribadi, pemilik nama penuh, Siti Adibah Yunus mengakui dia sangat bersyukur kerana lakonannya dalam filem yang memaparkan kisah ilmu hitam itu diterima penonton.

“Ia julung kali saya diberi kepercayaan melakonkan watak utama dalam filem setakat ini. Watak Murni adalah isteri yang lemah lembut, tetapi sanggup mengenakan sihir kepada suaminya supaya tidak jatuh pada wanita lain.

“Terus terang, watak itu sangat berat dan mencabar kerana saya banyak bermain dengan emosi dalaman. Saya berusaha memberikan lakonan terbaik mengikut kemampuan diri,” katanya.

Selepas Nasi Tangas, kata Adibah, tawaran berlakon tidak pernah putus diterimanya sampai sekarang.

“Setakat ini, agenda seni saya padat dengan pelbagai projek drama dan filem. Malah, masa saya juga banyak dihabiskan di lokasi penggambaran ketika ini.

“Saya juga anggap setiap watak dilakonkan termasuk watak pembantu dalam drama mahupun filem sebagai proses pembelajaran dalam bidang lakonan.

“Apa yang penting, saya melaksanakan tanggungjawab sebagai pelakon sebaik mungkin,” katanya.

Antara filem terbaru lakonannya ialah genre seram Badi arahan Eyra Rahman bergandingan dengan Azwan Kombos yang bakal ditayangkan di pawagam tahun ini. Tidak ketinggalan, filem Banglo Berkunci.

Bukan saja filem, Adibah turut diberi kepercayaan beraksi sebagai teraju utama dalam drama berjudul Dendam Semalam arahan Azaromi Ghozali bergandingan dengan Iqram Dinzly untuk slot Azalea TV3.

Drama bersiri sebanyak 20 episod yang baru saja selesai penggambarannya ini turut disemarakkan lagi dengan barisan pelakon seperti Azwan Kombos, Fadlan Hazim dan Nina Iskandar. Drama bersiri ini bersiaran setiap Isnin hingga Khamis jam 4 petang bermula 16 Februari nanti.

Kerja keras bina nama

Jika pelakon lain sudah popular dengan hanya berlakon dalam satu filem, Adibah pula terpaksa menunggu hampir empat tahun untuk memegang watak utama dalam filem dan drama.

Jika nak diikutkan, Adibah bukan nama baru kerana dia sudah hampir empat tahun terbabit bidang lakonan.

“Mungkin orang tidak perasan kehadiran saya kerana banyak watak dilakonkan sekadar pembantu atau watak kecil.

“Berkat kesabaran dan kerja keras, akhirnya saya diberi kepercayaan produksi Metrowealth untuk memegang watak utama dalam filem dan drama,” katanya.

Apapun, Adibah mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam memantapkan prestasi lakonan sedia ada.

“Saya juga banyak menimba ilmu lakonan dengan pengarah dan pelakon yang lebih senior di lokasi penggambaran. Saya juga percaya kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha dan kerja keras,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 8:42 AM