TIADA masalah lakonkan apa saja watak.
TIADA masalah lakonkan apa saja watak.
Syanty Octavia Amry


Geli melihat lakonan sendiri, pelakon Azwan Kombos mengakui perasaan itu sering hadir setiap kali dia menonton drama atau filem lakonannya.

Terbaru, filem lakonan Azwan berjudul Jalan Puncak Alam bakal menemui penonton di seluruh pawagam bermula 7 Mei ini.

Melalui filem itu dia memegang watak sebagai Azizi, lelaki yang dirasuk selepas melalui jalan menyeramkan di Jalan Puncak Alam.

Berkongsi perasaan gelinya itu, Azwan berkata, maksud geli itu seperti melihat orang yang melakonkan watak itu bukanlah dirinya.

“Saya tidak tahu hendak menggambarkan bagaimana perasaan setiap kali menonton lakonan sendiri. Bukan tidak suka, tetapi rasa lain pula mungkin kerana saya masih dalam proses mendalami setiap watak yang dilakonkan.

“Disebabkan kebanyakan watak yang saya jayakan selalunya berbeza dengan karakter diri sendiri membuatkan saya rasa janggal dan geli apabila menontonnya semula.

“Apa pun saya tiada sebarang masalah untuk melakonkan apa juga watak termasuklah dalam filem Jalan Puncak Alam ini. Malah, rasa bersyukur sepanjang berlakon filem ini saya tidak mengalami sebarang masalah diganggu,” katanya.

Berkongsi kisah gangguan itu, Azwan menambah, mungkin juga ada ustaz yang bersama mereka sepanjang penggambaran menyebabkan dia terselamat daripada sebarang gangguan.

“Ini filem seram kedua lakonan saya selepas Nasi Tangas. Alhamdulillah saya tidak mengalami gangguan sepanjang berlakon filem seram.

“Bukan hendak riak, tetapi saya bersyukur tidak pernah diganggu atau dirasuk. Saya akui berdebar setiap kali hendak memulakan penggambaran dan rasa bersyukur apabila semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Dalam kehidupan seharian, saya belum pernah diganggu. Kadang kala tidak tahu juga bagaimana hendak menunjukkan perasaan takut itu, biasanya saya menggambarkan perasaan takut itu sama seperti takut dimarahi oleh guru disiplin di sekolah,” katanya.

Selain filem Jalan Puncak Alam, dua lagi filem Azwan bakal menemui penonton tidak lama lagi ialah Waris Badi dan Isteri Untuk Dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 12:48 PM