RATUSAN basikal diletakkan di sebelah
RATUSAN basikal diletakkan di sebelah
RUANG simpanan basikal bawah tanah yang lengkap dengan kemudahan pejalan kaki.
RUANG simpanan basikal bawah tanah yang lengkap dengan kemudahan pejalan kaki.
STADIUM Philips yang diterangi lampu keluaran Philips.
STADIUM Philips yang diterangi lampu keluaran Philips.
ANTARA barangan lama yang masih menjadi simpanan sejarah dalam Muzium Philips
ANTARA barangan lama yang masih menjadi simpanan sejarah dalam Muzium Philips
Oleh Badrila Jamlus

"Awas... jangan berdiri atau berjalan di atas lorong basikal," kata Marieke van Ooyen, Pegawai Perhubungan Awam Philips bagi Negara Rantau Asia Pasifik kepada sekumpulan wartawan ketika kami tiba untuk makan malam di sebuah restoran di bandar Eindhoven, Belanda.

Ini kerana 94 wartawan antarabangsa dari 38 negara itu mungkin belum faham keadaan jalan raya dan gaya hidup warga Belanda yang gemar berbasikal di mana-mana saja, menyebabkan kerajaan negara itu menyediakan lorong atau laluan khas untuk basikal bagi kemudahan penduduknya.

Penulis yang berkesempatan berkunjung ke Eindhoven yang menjadi tempat lahirnya pengasas dan pencetus inovasi mentol lampu jenama Philips ini dapat menyaksikan pelbagai jenis reka bentuk basikal yang bukan saja ditunggang secara sendirian, malah sesetengahnya direka khas dilengkapi ruang untuk membawa kanak-kanak beserta kereta sorongnya sekali.

Laluan basikal yang dibina bersebelahan jalan raya itu dicat dengan warna merah bagi membezakannya dengan laluan pejalan kaki dan penunggang basikal juga mempunyai lampu isyarat dan lorong sendiri ketika mahu menyeberangi jalan raya tanpa mengganggu pejalan kaki, sekali gus memberi gambaran kepada penulis bahawa peta pembangunan bandar raya di negara ini memberi keutamaan kepada jentera dua roda ini sejak berpuluh tahun lalu.

Tidak hairan, laluan basikal boleh dilihat bukan saja di bandar, malah dihubungkan terus sehingga ke kawasan kediaman di pinggir dan di luar bandar yang mungkin jauhnya berpuluh-puluh kilometer dari pusat bandar.

Yang menarik perhatian penulis ialah basikal digunakan penduduk di sini lebih moden dan tidak menggunakan brek pad pada rim tayar yang biasanya dilihat pada basikal di Malaysia.

Kebanyakan basikal menggunakan brek yang digabungkan bersama dynamo untuk menyalakan lampu, malah ada yang boleh digerakkan dengan motor elektrik jika penunggang memilih untuk tidak mengayuh basikal.

Harga basikal yang dijual bermula dari Euro 200 hingga mencecah lebih Euro 2,000 dan difahamkan, penduduk juga boleh membeli basikal pada harga kurang dari Euro 100 untuk basikal terpakai.

Ketika berjalan kaki ke stesen kereta api Eindhoven dalam keadaan hujan renyai dengan suhu sekitar 17 darjah Celsius, penulis menyaksikan beratus-ratus basikal diletakkan di luar bangunan dan ada juga yang meletakkannya di ruang bawah tanah, sekali gus membuktikan basikal menjadi kaedah pengangkutan paling tua dan utama di negeri itu. Mungkin faktor cuaca turut menjadi kelebihan mereka yang menunggang di sini kerana lebih sejuk berbanding di negara Asia.

Yang menarik ialah reka bentuk stesen kereta api itu jika dilihat secara pandangan mata kasar seakan-akan sebuah radio transmiter lama, siap dengan antena di kiri bangunan berkenaan, malah patung Anton Philips turut berdiri megah di depan bangunan berkenaan.

Jika dilihat kepada peta geografi, kedudukan Eindhoven terletak di selatan dengan perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol mengambil masa kira-kira sejam setengah melalui lebuh raya yang dihidangkan dengan pemandangan indah ladang jagung dan ladang ternakan lembu.

Yang pasti, untuk tiba di Belanda, penulis perlu menempuh masa penerbangan selama 13 jam tanpa henti dengan jarak 10,954 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat Boeing KLM-Royal Dutch Airlines.

Eindhoven yang juga bandar kelima terbesar di Belanda dikenali sebagai 'Bandar Raya Bercahaya' dengan populasi penduduk lebih 200,000 orang dan menjadi tempat bertapaknya inovasi pertama radio dan alat X-ray selain penciptaan serta pengeluaran mentol lampu pada 1891.

Sekadar berkongsi pengalaman dalam travelog ini, pusat beli-belah utama di bandar ini hanya dibuka mulai jam 1 petang hingga 6 petang pada Ahad dan Isnin manakala pada Selasa hingga Sabtu dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang, mungkin disebabkan oleh gaya hidup serta corak bekerja yang berbeza.

Waktu singkat itu menyebabkan kebanyakan pusat beli-belah kelihatan padat dengan orang ramai yang mengejar masa untuk memilih dan membeli barangan dikehendaki, apatah lagi penduduk di negara itu melakukan persiapan menghadapi musim sejuk yang tiba pada penghujung tahun.

Terlalu banyak hendak diceritakan sepanjang seminggu berada di negara yang mempunyai sejarah tersendiri, apatah lagi tragedi menimpa pesawat MAS MH17 yang mengorbankan ramai warga negara itu. Antara tempat menarik lain yang boleh dikunjungi di Eindhoven ialah Muzium Philips, Stadium Philips dan pertunjukan lampu pada setiap malam Jumaat.

(Penulis mengikuti program Philips Innovation Experience di Eindhoven, Belanda baru-baru ini)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 6:10 AM