TERUSAN Damrak mengalir ke sekeliling bandar rayaAmsterdam.
TERUSAN Damrak mengalir ke sekeliling bandar rayaAmsterdam.
PENGANGKUTAN awam yang efisien serta basikal popular dalam kalangan warga Amsterdam.
PENGANGKUTAN awam yang efisien serta basikal popular dalam kalangan warga Amsterdam.
PENULIS di depan Stesen Sentral Amsterdam.
PENULIS di depan Stesen Sentral Amsterdam.
PENDUDUK Amsterdam gemar berbasikal jika berurusan
PENDUDUK Amsterdam gemar berbasikal jika berurusan
Oleh Nazarali Saeril


Menghabiskan masa kira-kira 12 jam di dalam pesawat Boeing 777-300ER milik Syarikat Penerbangan Diraja Belanda (KLM) dengan hanya membaca serta menonton filem disediakan bukan perkara mudah.

Rasa penat serta bosan sepanjang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam itu bagaimanapun lenyap sejurus pesawat mendarat. Meskipun kesuntukan masa sepanjang tempoh transit ke Warsaw di Poland, penulis mengambil kesempatan untuk menyelami keindahan ibu negara Belanda itu.

Selepas mendaftar keluar dari Lapangan Terbang Schiphol, penulis menaiki tren terletak bersebelahan lapangan terbang berkenaan untuk ke pusat bandar raya. Berkeluasan kira-kira 220 kilometer persegi, Amsterdam dihuni kira-kira 830,000 penduduk.

Walaupun suhu di Amsterdam kira-kira 11 Celsius dan sejuknya agak menggigit, penulis dan rombongan Muslim Care Malaysia tetap bersemangat untuk menjelajah bandar raya berkenaan.

Dengan tiket kira-kira RM20 bagi perjalanan sehala, penulis dapati pengangkutan awam ini bukan saja efisien, malah menjadi pilihan utama orang ramai untuk ke pusat bandar Amsterdam.

Perjalanan kira-kira 20 minit itu berakhir di Stesen Sentral Amsterdam dan di situ, penulis dapati kawasan sekitarnya dipenuhi bangunan lama malah difahamkan, ada yang berusia ratusan tahun.

Amsterdam dibangunkan dengan pesat sejak ratusan tahun lalu dan ia dikelilingi terusan, malah banyak terusan ditambak untuk didirikan bangunan serta kediaman.

Oleh itu, tidak menghairankan ada antara bangunan berkenaan senget kerana perubahan yang berlaku membabitkan struktur tapak bangunan dari semasa ke semasa sejak ratusan tahun lalu.

Keluar dari Stesen Sentral Amsterdam, tren sedia menunggu penumpang dan ia bergerak setiap 10 minit malah berhenti di lampu isyarat, sama seperti pengangkutan awam lain iaitu bas serta teksi.

Di bandar ini, penulis dapati masyarakatnya gemar menggunakan pengangkutan awam atau basikal.

Bagi yang ingin merasai pengalaman mengayuh basikal mengelilingi bandar Amsterdam, mereka boleh melakukannya dengan menyewanya pada kadar RM20 untuk tempoh daripada jam 9 pagi hingga 8 malam.

Di bandar berkenaan, ada beberapa syarikat menyediakan khidmat sewa basikal serta motosikal. Ia bukan saja murah malah praktikal selain laluan khas turut disediakan untuk penggunanya.

Pengguna basikal juga diberi perhatian oleh pengguna jalan raya lain di mana mereka diberi laluan terlebih dulu oleh pemandu kereta selain kenderaan berat.

Bagi yang ingin merasai pengalaman menaiki bot di terusan dikenali sebagai Damrak yang terletak di tengah pusat pelancongan bandar Amsterdam, mereka boleh melakukannya dengan membayar RM40.

Mereka akan dibawa menyusuri terusan berkenaan untuk menyaksikan keindahan bangunan di tepi terusan sebelum kembali ke jeti.

Penulis difahamkan, ada kira-kira 1,000 jambatan dibina di sekitar bandar Amsterdam dan semuanya merentasi terusan berkenaan.

Selain itu, penulis turut mengambil peluang untuk melawat Dataran Dam di mana terletaknya Istana Diraja Amsterdam.

Istana berkenaan yang pernah dihuni oleh Napoleon Bonaparte siap dibina pada 1655 sebelum akhirnya dijadikan istana rasmi kerabat diraja Belanda.

Binaan bangunan berkenaan unik malah ia turut dipulihara dengan baik oleh kerajaan Belanda. Dataran Dam turut menjadi pilihan pelancong kerana di situ terletak bangunan menempatkan muzium lilin Madame Tussaud.

Bagi pelancong Muslim, makanan halal mudah diperoleh kerana banyak restoran dimiliki oleh pengusaha Muslim namun operasinya dijalankan oleh orang tempatan.

Makanan halal seperti ‘English Breakfast’, kebab serta nasi dijual pada harga berpatutan antara RM30 hingga RM45 bergantung kepada menu ditawarkan. Anehnya restoran ini, ia turut dibina di lorong antara bangunan selain agak tersorok tetapi tetap dikunjungi pelanggan.

Dari segi bahasa, tiada masalah membabitkan komunikasi kerana penduduk Amsterdam mampu bertutur dalam bahasa Inggeris malah ramai yang mengenali Malaysia.

Ada juga peniaga yang turut meluahkan rasa simpati kepada rakyat serta kerajaan Malaysia di atas tragedi menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh sehingga mengorbankan semua penumpang dengan majoritinya sendiri adalah warga Belanda.

Hotel bajet juga boleh ditemui dengan mudah dan ia menawarkan bayaran antara RM240 hingga RM320 sehari.

Dari segi keselamatan, pelancong tidak perlu bimbang kerana warga Amsterdam terkenal dengan sikap ramah serta akan membantu jika diperlukan.

(Penulis berada di Amsterdam sebelum ke Warsaw di Poland, dan Prague di Republik Czech baru-baru ini bagi mengikuti Misi Pusat Islam Poland, Muslim Care Malaysia Society dengan kerjasama XOX Berhad serta kru program HAJAT@Astro Prima Bhd.)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:02 AM