PERALATAN BlueControl yang menggunakan lampu biru LED bagi membantu penghidap penyakit kulit kronik seperti psoriasis.
PERALATAN BlueControl yang menggunakan lampu biru LED bagi membantu penghidap penyakit kulit kronik seperti psoriasis.
SISTEM penapis udara Philips yang memberikan data kualiti udara.
SISTEM penapis udara Philips yang memberikan data kualiti udara.
ALAT pengimbas mudah alih yang digunakan untuk ibu mengandung di negara Afrika.
ALAT pengimbas mudah alih yang digunakan untuk ibu mengandung di negara Afrika.
SISTEM elektronik di Pusat Perubatan Maxima yang boleh disepadukan dengan peranti tablet.
SISTEM elektronik di Pusat Perubatan Maxima yang boleh disepadukan dengan peranti tablet.
KETUA Pegawai Eksekutif Royal Philips, Frans van Houten berucap pada program Philips Innovation Experience, di Eindhoven, Belanda.
KETUA Pegawai Eksekutif Royal Philips, Frans van Houten berucap pada program Philips Innovation Experience, di Eindhoven, Belanda.
Oleh Badrila Jamlus

Inovasi adalah darah daging Philips. Ini kerana sejak 123 tahun lalu, Philips yang bermula dengan menghasilkan mentol lampu oleh pengasasnya, Anton Philips tidak jemu melakukan pelbagai penyelidikan sehingga kepada produk inovasi yang mampu menjadikan kehidupan seseorang itu lebih baik.

Sejak beberapa dekad lalu, penyelidik Philips sudah mencipta lebih 100,000 paten dan misi atau wawasan seterusnya ialah meningkatkan taraf kehidupan tiga bilion penduduk setahun menjelang 2025 kerana ketika ini dua juta penduduk dunia berada dalam kelaparan akibat kekurangan bekalan air, sumber makanan dan penjagaan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Royal Philips, Frans van Houten berkata, Philips komited dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan lebih baik dengan memberi fokus kepada aspek penjagaan kesihatan yang lebih efisien dan mewujudkan bandar raya yang lebih selamat serta selesa.

Beliau berkata, keputusan syarikat untuk mewujudkan dua syarikat yang memberi fokus kepada Teknologi Kesihatan dan Penyelesaian Pencahayaan akan meletakkan kedudukan kedua-dua syarikat sebagai peneraju pasaran bagi tempoh jangka panjang kerana mampu melakukan lebih banyak inovasi serta memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik.

"Gabungan bahagian gaya hidup pengguna dan penjagaan kesihatan profesional misalnya membolehkan pengguna memantau serta menguruskan penjagaan kesihatan mereka sendiri di rumah dengan menggunakan teknologi dibangunkan Philips sekali gus membantu kerajaan dalam mencari kaedah terbaik bagi menawarkan rawatan perubatan pada kos yang berpatutan.

"Bagi tujuan revolusi ini, bidang penjagaan kesihatan disepadukan dengan perkhidmatan perubatan meliputi diagnostik, rawatan, pemulihan dan penjagaan di rumah serta pada masa sama menggalakkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian," katanya dalam ucaptama pada program Philips Innovation Experience, di Eindhoven, Belanda, baru-baru ini.

Bagi industri pencahayaan pula, LED dan teknologi pencahayaan yang dihubungkan akan menyaksikan transformasi daripada produk pencahayaan kepada sistem dan penyelesaian pencahayaan. Ia meningkatkan nilai ekonomi dan sosial dengan menjadikan sesebuah bangunan atau bandar raya lebih cantik, jimat tenaga dan lebih selamat.

Frans berkata, populasi global yang dijangka meningkat kepada 9 bilion menjelang 2050 memerlukan lebih banyak makanan, air serta tenaga manakala urbanisasi menyaksikan sesebuah bandaraya dipenuhi lebih 20 juta penduduk yang mahukan persekitaran yang selamat, sihat akibat peningkatan kos penjagaan kesihatan.

"Philips sentiasa meneroka dan menyokong usaha pembangunan kerana kami mahu masyarakat menikmati gaya hidup sihat misalnya, penapis udara pintar Philips menyediakan data masa sebenar mengenai kualiti udara dalam rumah dan memberi amaran apabila data ini mencecah tahap berbahaya.

"Pengguna boleh mengawal penapis udara ini menerusi telefon mudah alih dan inovasi ini membantu penghidap penyakit alahan atau masalah pernafasan khususnya keluarga yang tinggal dibandaraya yang terdedah dengan pencemaran udara tinggi," katanya.

Antara inovasi terbaru lain yang dihasilkan Philips ketika ini ialah alat BlueControl yang menggunakan lampu biru LED bagi membantu penghidap penyakit kulit kronik seperti psoriasis manakala sistem Convo pula dihubungkan dengan aplikasi Hue bagi membantu golongan cacat pendengaran menerusi telefon pintar yang bertindak balas melalui paparan cahaya.

Philips ketika ini bekerjasama dengan profesional kesihatan di seluruh dunia untuk mewujudkan lebih banyak pendekatan bersepadu ke arah masa depan penjagaan kesihatan dan menggunakan kelebihan data besar (big data), perkomputeran Cloud dan teknologi berkaitan.

Frans berkata, untuk menjadikan wawasan ini satu kenyataan, Philips mengumumkan kerjasama dengan Salesforce.com untuk membantu membangunkan platform penjagaan kesihatan berasaskan Cloud yang akan diintegrasikan dengan data diagnostik daripada pelbagai sumber yang mengandungi rekod perubatan bagi membolehkan proses rawatan dilakukan lebih cekap.

"Kami sedang membangunkan teknologi yang membolehkan pegawai perubatan atau doktor membuat imbasan digital dan berkongsi maklumat dengan rakan lain di seluruh dunia misalnya doktor di Tokyo, San Francisco dan Berlin boleh membuat rumusan pesakit kanser yang berada di Sydney, Australia," katanya.

Mengenai aspek pencahayaan di bandar raya, Philips sudah bekerjasama dengan kerajaan Aruba iaitu sebahagian daripada jajahan Belanda untuk memastikan pulau berkenaan memenuhi sasaran penggunaan 100 peratus tenaga mampan menjelang 2020. Philips sudah melakukan pemetaan perkhidmatan lampu di seluruh pulau dan mereka bentuk penyelesaian LED bagi bangunan awam dan lampu luaran dengan sasaran mencapai penjimatan tenaga sehingga 80 peratus serta tahap emisi rendah sehingga 4,000 tan setahun.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Ketua Bahagian Jenama, Komunikasi dan Digital Philips, Richard Wergan berkata, Philips mahu terus kekal berdaya saing dalam memenuhi keperluan pengguna khususnya selepas membuat keputusan untuk mewujudkan dua entiti berbeza bagi meningkatkan kecekapan dengan sasaran pasaran yang lebih jelas.

"Philips adalah unik kerana menerusi kelebihan teknologi sebagai peneraju pasaran, kami boleh memenuhi keperluan semasa pengguna dengan mengintegrasikan sistem sedia ada khususnya bagi tujuan penjagaan kesihatan.

"Jenama Philips diterima ramai dan kami sentiasa berusaha menyampaikan maklumat ini kepada semua jenis media sama ada cetak, Internet serta laman media sosial yang mampu memberi pendedahan lebih meluas dalam era dunia digital ini," katanya.

Dalam pada itu, media turut berkesempatan melawat Pusat Perubatan Maxima (Maxima) di Veldhoven, Belanda yang dibina menerusi kerjasama Philips iaitu pusat Eropah pertama yang menyediakan penjagaan komprehensif bagi keluarga yang menawarkan persekitaran hospital untuk ibu dan anak.

Bilik bersalin di Maxima direka khas bagi menyokong segala keperluan ibu mengandung daripada saat menunggu waktu bersalin sehingga proses kelahiran bayi yang ditempatkan dalam satu bilik bersama, lengkap dengan kemudahan peralatan terkini untuk memantau keadaan bayi masing-masing.

Pengurus Penjagaan Kesihatan di Maxima, Freek van Daal berkata, sebanyak Euro 52 juta dibelanjakan untuk membangunkan pusat perubatan itu yang mempunyai 16 bilik bersalin yang khususnya untuk seorang ibu bersalin dan tiada larangan kepada bapa untuk tinggal bersama-sama isteri serta anak mereka secara privasi.

"Philips dan Maxima menjalankan kajian untuk menyokong ibu mengandung dalam proses kelahiran dan antara elemen yang diterokai ialah penggunaan telefon pintar sebelum dan selepas proses kelahiran yang memaparkan visual yang interaktif," katanya.

(Penulis menghadiri program Philips Innovation Experience, Eindhoven, Belanda)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:04 AM